KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi penjelasan berhubung isu ketiadaan hospital awam di Petaling Jaya yang hanya dibangkitkan sekarang sedangkan PKR dan DAP telah memerintah negeri itu sejak 18 tahun lalu.
Naib Pengerusi MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, apakah isu berkenaan mempunyai kaitan dengan pilihan raya yang semakin hampir.
“Orang ramai juga mempersoalkan mengapa isu ini hanya diketengahkan sekarang, ketika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin hampir.
“Adakah perkara ini akan dijadikan sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan untuk meraih sokongan, sedangkan pembinaan hospital kerajaan sepatutnya telah diberi keutamaan sejak 18 tahun lalu?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Selangor menegaskan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk tidak sepatutnya dijadikan alat politik untuk menekan pengundi agar menyokong mana-mana gabungan politik.
Katanya, jika Pakatan Harapan (PH) benar-benar ikhlas dalam menjaga kebajikan rakyat, mereka mesti menunjukkan iltizam politik untuk mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dijadikan hospital awam dan bukannya terus memberikan alasan berkaitan “kos yang tinggi”.
Ini kerana populasi di Petaling Jaya semakin menua dan ramai penduduk akhirnya akan kehilangan sumber pendapatan selepas bersara.
Ini menjadikan keperluan terhadap hospital kerajaan lebih mendesak kerana warga emas mungkin tidak lagi mampu menanggung kos rawatan yang tinggi di hospital swasta.
Tambah beliau, selama bertahun-tahun, penduduk di kawasan berkenaan terpaksa pergi ke Hospital Shah Alam atau Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang mampu milik.
Ironinya, bilangan hospital swasta di Petaling Jaya, Subang dan Puchong pula dilihat berkembang pesat.
“Sukar untuk dipercayai bahawa Selangor, negeri terkaya dan paling maju di Malaysia, dengan salah satu kepadatan penduduk tertinggi di negara ini, tidak mampu memperuntukkan sebidang tanah untuk pembinaan hospital kerajaan, sedangkan pembangunan komersial terus tumbuh bagai cendawan di kawasan sekitarnya.
“Jelas sekali, keutamaan kerajaan Selangor dilihat lebih memihak kepada pemaju hartanah berbanding keperluan penjagaan kesihatan rakyat apabila projek hospital awam tidak diberikan keutamaan,” ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dikecam pelbagai pihak selepas menjawab soalan netizen berhubung ketiadaan hospital awam di Petaling Jaya.
Dalam responsnya, Amirudin berkata kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mencari tanah yang sesuai untuk membina hospital di Petaling Jaya kerana faktor kos yang tinggi.
Menurut beliau, sebelum ini pihaknya telah mengenal pasti satu tapak di kawasan Kota Damansara namun ia agak jauh dari Petaling Jaya dan mereka masih mencari tapak tanah alternatif yang sesuai. -MalaysiaGazette
















