BUKIT MERTAJAM – Kerajaan sedang merangka langkah segera bagi menangani isu pasaran pekerjaan susulan laporan kehilangan kira-kira 7,000 pekerjaan pada April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan tindakan susulan sedang dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi menyediakan peluang pekerjaan alternatif.
“Usaha itu akan digerakkan melalui penyelarasan pelaburan baharu yang tertumpu di beberapa kawasan utama termasuk Perak, Pulau Pinang, Kulim Hi-Tech, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Dalam tempoh seminggu dua saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif…sebab ada peluang pekerjaan baharu dan kita harus salurkan supaya ada sinergi di antara pelaburan baru yang masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kehilangan seramai 7,057 pekerja, pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.
Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Padang Homestay Mengkuang Titi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, sektor teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara fokus utama kerana mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa.
“Sekarang ini tentang IT, AI, bidang baharu. Kalau ada keperluan kita beri latihan khas supaya anak muda boleh masuk bidang ini.
“Setakat ini belum merisaukan (isu kehilangan pekerjaan) tetapi kalau lihat dari segi kiraan mula, setiap kehilangan pekerjaan bagi seorang dalam keluarga itu tentunya merunsingkan, jadi kita cuba menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Media hari ini melaporkan seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Katanya, perkembangan itu perlu diberi perhatian walaupun jumlah berkenaan lebih rendah berbanding awal tahun ini.
Akmal berkata, jumlah kehilangan pekerjaan pada April masih lebih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari, namun peningkatan bulan ke bulan memerlukan pemantauan rapi.
“Walaupun angka ini lebih rendah berbanding awal tahun ini iaitu 10,658 pada Januari dan 7,512 pada Februari, perkembangan ini perlu diberi perhatian,” katanya ketika taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). – MalaysiaGazette
















