PONTIAN – Seorang wanita warga emas hilang ketika melalui kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini, hari ini.
Mangsa Nathiah Selamat, 77, dikatakan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sri Bunian pukul 11 pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Anwar Ab Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6 petang.
Susulan itu katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama-sama lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, maklumat awal mendapati kehilangan melibatkan seorang wanita warga emas di kawasan kebun kelapa sawit.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan dengan pencarian dibahagikan kepada dua sektor di sekitar kawasan yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.- MalaysiaGazette
















