Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank menyempurnakan Pelancaran Akaun Simpanan AGROKorban-i sambil disaksikan Pihak Pengurusan Kanan Agrobank.

KUALA LUMPUR  – Agrobank hari ini melancarkan Akaun Simpanan AGROKorban-i, satu produk deposit patuh syariah yang diperkenalkan bagi membantu komuniti Islam membuat persediaan kewangan secara lebih terancang untuk melaksanakan ibadah korban.

Dengan pembukaan akaun serendah RM20, produk ini memberi peluang kepada pelanggan untuk menabung secara berperingkat sehingga mencapai sasaran simpanan bagi melaksanakan ibadah korban.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ibadah korban bukan sahaja menuntut keikhlasan dan kemampuan malah memerlukan perancangan kewangan yang baik.

Melalui Akaun Simpanan AGROKorban-i, Agrobank ingin membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten agar hasrat untuk menunaikan ibadah korban dapat direalisasikan dengan lebih mudah.

“Akaun Simpanan AGROKorban-i diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang bukan sahaja praktikal, tetapi turut memupuk budaya menyimpan sebagai satu persediaan yang
lebih bermatlamat dan memberi manfaat kepada diri, keluarga serta komuniti.

“Bagi permulaan, Agrobank menyasarkan 5,000 bahagian korban dapat dilaksanakan pada tahun depan menerusi Akaun Simpanan AGROKorban-i di seluruh cawangan,” tambah beliau dalam kenyataan.

Majlis pelancaran Akaun Simpanan AGROKorban-i telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin di Agrobank Cawangan Tanjung Karang bersempena program Agro Korban 2026, iaitu inisiatif tahunan Agrobank dalam menyantuni
komuniti melalui pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging korban kepada masyarakat setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast