Spesies kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, penemuan pertama genus seumpamanya di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah sains negara apabila berjaya menemukan spesies kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, sekali gus merekodkan penemuan pertama genus seumpamanya di Malaysia.

Kulat nadir yang dinamakan Calocybe kinabaluensis sp. nov. itu mempunyai ciri fizikal unik dengan payung (topi) berwarna biru pekat berdiameter antara 34 hingga 120 milimeter serta tangkai berwarna senada, manakala bahagian lamella (insang) di bawah topinya berwarna putih krim.

Kulat yang berfungsi sebagai agen pengurai semula jadi bagi menyuburkan tanah itu ditemukan menerusi kerja lapangan di tiga laluan utama Taman Kinabalu iaitu Bundu Tuhan, Liwagu dan Silau-Silau.

Sampel kulat berkenaan mula ditemukan oleh kakitangan Taman-Taman Sabah, Martinah Latim dan Jamil Kasmin pada Februari 2025 sebelum penemuan susulan direkodkan pada November tahun sama menerusi Program Renjer Muda yang melibatkan pelajar sekolah menengah daerah Ranau di Taman Kinabalu.

Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan mengetuai kajian bersama penyelidik daripada Taman-Taman Sabah, pelajar pascasiswazah UMS serta pakar antarabangsa dari Universiti Torino, Itali.

Program hasil kerjasama strategik antara Taman-Taman Sabah dan UMS sejak 2016 itu bertujuan memberi pendedahan serta mendidik generasi muda mengenai kepelbagaian bio-kulat yang terdapat di Sabah.

Kajian berimpak tinggi itu diketuai pakar mikologi UMS, Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan dengan kerjasama penyelidik daripada Taman-Taman Sabah, pelajar pascasiswazah UMS serta pakar antarabangsa dari University of Turin, Itali.

Bagi mengesahkan status spesies baharu itu dan membezakannya dengan spesies terdekat iaitu Calocybe cyanella, kumpulan penyelidik mengintegrasikan kaedah analisis DNA menerusi filogenetik molekul bersama pemerhatian ciri mikroskopik secara terperinci.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, penemuan berkenaan membuktikan hutan Sabah masih menyimpan khazanah biologi yang belum diterokai sepenuhnya.

“Kejayaan ini juga mencerminkan peranan UMS sebagai “Brain of Borneo” dalam menerajui penyelidikan biodiversiti ke peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Spesimen holotaip kulat berkenaan kini diwarta dan disimpan di Koleksi Borneensis (BORH), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS menerusi pembiayaan geran penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast