JOHOR BAHRU – Rakyat Johor perlu menilai situasi semasa dan perkara yang dijanjikan kerajaan sebelum ini sama ada nasib dan kebajikan mereka sudah benar-benar terbela atau sekadar retorik politik.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, penilaian tersebut penting dalam menentukan masa depan rakyat dan negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Rakyat Johor kini berhak bertanya diri sendiri, adakah keadaan ekonomi dan kos sara hidup hari ini benar-benar membela nasib rakyat terbanyak?
“Sejauh manakah janji-janji pembangunan dan kebajikan yang dilaungkan sebelum ini telah diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakyat juga perlu merenung apakah perubahan sosioekonomi yang benar-benar memberi impak langsung kepada pendapatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Johor.
Menurutnya, selepas empat tahun mentadbir, tempoh itu sudah lebih daripada mencukupi untuk rakyat melihat, merasai dan menilai sendiri prestasi serta pencapaian kerajaan negeri.
Katanya, pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam merupakan langkah yang tepat untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat Johor bagi memilih dan menentukan hala tuju kepimpinan negeri yang baharu.
Zulkifli melihat perkembangan itu sebagai medan terbaik untuk menyuburkan demokrasi malah merupakan masa yang dinanti-nantikan seluruh Bangsa Johor.
Jelasnya, ini akan kembali memberi peluang kepada mereka membuat pilihan secara matang, bijaksana dan adil demi masa depan negeri ini.
Kata beliau, gerakan Reset Johor percaya bahawa kuasa menentukan masa depan Johor kini berada sepenuhnya di tangan rakyat.
“PRN yang bakal berlangsung bukan sekadar satu proses demokrasi yang rutin, tetapi merupakan referendum rakyat terhadap prestasi pentadbiran yang sedia ada.
“Rakyat Johor ialah penilai yang bijaksana. Gunakan hak dan peluang ini untuk memilih kepimpinan yang benar-benar telus, berintegriti dan mampu membawa perubahan yang realistik, bukan sekadar retorik politik,” katanya.
Tambah beliau, gerakan Reset Johor juga bersedia turun ke gelanggang demokrasi bersama parti lain dalam usaha mencorakkan Johor yang lebih sejahtera, adil dan maju untuk semua.
Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi. – MalaysiaGazette
















