KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat tidak mengetahui sama ada seorang ahli perniagaan mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembinaan lain yang memasuki tender terbuka bagi membida projek pembinaan tiga jalan utama serta terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli memberitahu Mahkamah Sesyen, beliau tidak tahu jika bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli turut terlibat dengan syarikat itu ketika proses bidaan dilaksanakan.
Menurut beliau yang juga pegawai penyiasat kes, selain Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), syarikat VST Cemerlang Sdn Bhd turut memasuki tender terbuka bagi membida projek mega berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Zarul Ahmad yang meletakkan (planted) VST Cemerlang sebagai pembida dan hanya mengetahui ahli perniagaan itu ada kaitan dengan CZBUCG.
Ketika ditanya peguam Haijan Omar sama ada siasatannya menunjukkan Zarul Ahmad secara senyap-senyap meletakkan VST Cemerlang untuk membina bagi projek itu, Zulhilmi berkata, beliau tidak pasti.
Disoal Haijan adakah saksi tahu bahawa Zarul Ahmad ‘ada tangan’ dengan meletakkan VST Cemerlang, yang mana ia mempunyai kaitan untuk membida dalam projek tersebut, Zulhilmi menjawab, saya tidak tahu.
Saksi pendakwaan ke-38 itu turut menegaskan beliau tidak pernah mengabaikan aspek penting ketika menyiasat kes berkenaan.
Peguam: Tuan tidak pernah siasat perkara ini. Tuan tidak tahu mengapa Zarul Ahmad meletakkan VST Cemerlang, atas dasar apa, apa signifikannya dan apakah sebab-sebabnya?
Saksi: Saya tidak setuju, saya siasat kes ini berdasarkan aduan.
Peguam: Tuan telah abaikannya dalam siasatan.
Saksi: Saya tidak setuju.
Sebelum ini, Zulhilmi menerusi pernyataan saksinya berkata CZBUCG adalah syarikat yang terbaik daripada lima pembida yang dinilai bagi projek berkenaan.
Menurut saksi itu, CZBUCG telah memperolehi markah 93 peratus berbanding pembida terdekat iaitu VST Cemerlang yang memperoleh markah 77 peratus menyebabkan syarikat CZBUCG telah dipilih mendapatkan tender bagi projek terbabit.
Guan Eng sedang dibicarakan bagi pertuduhan rasuah ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Julai ini. – MalaysiaGazette















