Steven Sim merasmikan Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia hari ini memperkenalkan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) sebagai inisiatif baharu memperkukuh pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program berkenaan menyediakan bantuan kewangan RM205 juta menerusi empat inisiatif utama yang diwujudkan bagi membantu PMKS mengembangkan operasi serta meningkatkan daya saing perniagaan.

“Dalam suasana ekonomi global yang masih tidak menentu, kerajaan komited memastikan golongan usahawan tidak berdepan cabaran tersebut secara bersendirian.

“Melalui pelaksanaan Program SINAR, kerajaan mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada kemudahan pembiayaan dan sokongan yang diperlukan supaya mereka mampu terus beroperasi, berkembang serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Program SINAR merupakan inisiatif baharu yang dilaksanakan menerusi SME Corp Malaysia dan merangkumi lima komponen utama melibatkan penyediaan bantuan kewangan kepada PMKS.

Katanya, tiga skim pembiayaan disediakan dengan nilai sehingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun hasil kerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.

Selain kemudahan pembiayaan, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif turut diperkenalkan sebagai program pembangunan kapasiti yang menawarkan geran sehingga 90 peratus kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penyertaan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan syarikat selain membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran dan keupayaan bagi mentransformasikan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi memudahkan usahawan mendapatkan manfaat daripada program tersebut, beliau berkata, pemohon hanya perlu memiliki Status PMKS, iaitu pengiktirafan rasmi yang mengesahkan sesebuah perniagaan memenuhi definisi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Tambahnya, kerajaan turut menawarkan potongan fi sebanyak 50 peratus bagi permohonan Status PMKS bermula bulan ini sehingga 31 Ogos depan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast