Steven Sim dalam Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan meningkatkan peruntukan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya untuk keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan dan pembangunan usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penambahan RM10 bilion yang diumumkan bulan lalu dibuat susulan peningkatan permohonan pembiayaan dalam kalangan PMKS, selain mengambil kira cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang masih memberi kesan kepada sektor perniagaan.

“Permintaan terhadap pembiayaan sememangnya sentiasa wujud dan dalam keadaan ekonomi semasa, keperluan terhadap modal kerja menjadi semakin penting.

“Justeru, kerajaan telah menambah peruntukan daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion bagi memastikan lebih ramai usahawan dapat dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Bank Rakyat di Coronation Square, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keseluruhan peruntukan RM60 bilion itu disalurkan menerusi pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi berkaitan untuk memperkukuh daya tahan PMKS dan membantu mereka mengembangkan operasi perniagaan.

Steven Sim berkata, kementerian juga sedang melaksanakan reformasi tadbir urus bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, termasuk mengurangkan kerenah birokrasi dan memendekkan tempoh pemprosesan permohonan pembiayaan.

Beliau berkata, SME Bank dan Bank Rakyat kini menyasarkan tempoh pemprosesan hanya dua minggu bagi permohonan pembiayaan sehingga RM1 juta, berbanding sebelum ini yang boleh mengambil masa sehingga dua atau tiga bulan.

“Ini adalah komitmen kita untuk memastikan usahawan memperoleh akses kepada pembiayaan dengan lebih cepat supaya mereka dapat meneruskan operasi serta melaksanakan pelan pengembangan perniagaan tanpa kelewatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, TEKUN Nasional melalui Skim Pembiayaan Barakah turut berjaya mempercepatkan proses kelulusan kepada hanya tujuh hari bagi pembiayaan kecil sekitar RM30,000.

Menurutnya, segala usaha tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan KUSKOP untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan agensi di bawah kementerian, sekali gus memastikan proses permohonan menjadi lebih mudah, cekap dan mesra usahawan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast