Pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. Foto FB BAM.

KUALA LUMPUR – Pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki Terbuka Indonesia apabila muncul juara selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, di Istora Senayan, Jakarta hari ini.

Biarpun tewas pada set pertama, pasangan ranking kelapan dunia itu bangkit sebelum mencatat kemenangan 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit untuk merangkul gelaran terbesar mereka musim ini.

Kejayaan berkenaan sekali gus menamatkan kemarau panjang Malaysia dalam acara beregu lelaki di Terbuka Indonesia sejak kali terakhir dimenangi Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari pada tahun 2008.

Kejayaan itu turut mengukuhkan status Sze Fei-Nur Izzuddin sebagai antara pasangan paling konsisten di Jelajah Dunia musim ini selepas mara ke separuh akhir Terbuka Thailand, muncul naib juara Malaysia Masters dan finalis Terbuka Indonesia dalam tempoh tiga minggu berturut-turut.

Lebih manis, Indonesia terus menjadi gelanggang bertuah buat pasangan negara itu selepas mereka turut menjuarai Indonesia Masters pada Januari tahun lalu dengan menewaskan pasangan yang sama dalam aksi straight set.

Gelaran Terbuka Indonesia yang bertaraf Super 1000 ini pastinya menjadi pencapaian terbesar dalam karier Sze Fei-Nur Izzuddin setakat ini, sekali gus memberikan suntikan keyakinan besar menjelang baki saingan musim 2026. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast