Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tiga, kiri) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga kanan) bersama wakil-wakil persatuan media Malaysia pada majlis menandatangani Ikrar Media Malaysia berkaitan Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab mengenai tingkah laku bunuh diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kerajaan komited memperkukuh komitmen dalam melindungi keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat melalui kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Komunikasi (KK) dan The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF).

KKM dan KK dalam satu kenyataan bersama berkata, ia dibuktikan menerusi Sesi Persidangan Meja Bulat  Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri yang berlangsung di sini hari ini.

Sesi itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu memfokuskan kepada pembangunan garis panduan kandungan serta pelaporan selamat dalam persekitaran media dan platform digital.

“Sesi dialog yang julung kali diadakan ini berjaya menghimpunkan kepimpinan kerajaan bersama ketua pengarang, badan industri dan pengamal media serta rakan strategik.

“Kolaborasi ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental serta keselamatan awam secara holistik, merentas kementerian dan sektor.

“Dalam era digital hari ini, komunikasi menerusi media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, mengurangkan stigma serta menggalakkan masyarakat tampil mendapatkan bantuan demi kesejahteraan bersama,” katanya kementerian terbabit dalam kenyataan bersama itu.

Sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Ikrar Media Malaysia oleh wakil organisasi media dan badan kewartawanan iaitu Majlis Media Malaysia (MMM), Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) serta National Union of Journalist Malaysia (NUJ).

Langkah ini menjadi lambang komitmen kolektif industri media dalam memperkukuh amalan pelaporan yang selamat, beretika dan bertanggungjawab berkaitan isu tingkah laku bunuh diri.

Sesi itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) melalui pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam, selari dengan hasrat pimpinan kerajaan menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera dalam semua aspek, termasuk kesihatan mental.

Kerajaan turut menegaskan sokongan berterusan terhadap amalan pelaporan media yang mematuhi prinsip keselamatan, empati dan tanggungjawab sosial, tanpa menjejaskan kebebasan media sebagai tonggak penting masyarakat demokratik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast