SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang mengaitkan beliau dengan rundingan untuk menukar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Exco AMK Malaysia dari Negeri Sembilan, Haqqim Nazaruddin berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan pelbagai spekulasi terus berlegar dalam kalangan rakyat susulan pendedahan yang dilaporkan beberapa media sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, jika dakwaan berkenaan tidak benar, Jalaluddin dan UMNO Negeri Sembilan perlu tampil menafikannya secara terbuka demi menjaga keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dan kestabilan politik negeri.
“Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui perkara sebenar. Jika dakwaan ini tidak benar, tampil dan nafikan.
“Jika benar tidak berlaku sebarang rundingan seperti yang didakwa, maka penjelasan terbuka perlu diberikan supaya perkara ini tidak terus menjadi tanda tanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media yang memetik kandungan satu surat didakwa dihantar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan Pas yang antara lain mendakwa wujud siri rundingan melibatkan pemimpin PN dan UMNO bagi menukar kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut laporan tersebut, beberapa pertemuan didakwa berlangsung pada April lalu termasuk satu perbincangan yang dikatakan turut dihadiri Jalaluddin bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.
Exco AMK itu berkata, isu berkenaan perlu dijelaskan kerana ia melibatkan dakwaan cubaan menjatuhkan sebuah kerajaan negeri yang baru memasuki penggal ketiga pentadbiran selepas mendapat mandat rakyat menerusi pilihan raya.
Katanya, lebih menghairankan apabila terdapat pihak tertentu yang selama ini lantang menuduh Pakatan Harapan (PH), termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan dan DAP, kononnya mencetuskan pelbagai krisis politik serta ketegangan melibatkan institusi diraja.
“UMNO dan pemimpinnya sebelum ini tidak teragak-agak menuding jari kepada pihak lain, termasuk terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Malah kita juga menyaksikan beberapa kenyataan serta video yang menggunakan bahasa keras terhadap DAP dan PH dalam pelbagai isu kebelakangan ini.
“Tetapi apabila timbul dakwaan baharu yang jauh lebih serius melibatkan percaturan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, rakyat masih belum mendengar penjelasan yang memuaskan daripada pihak yang dikaitkan,” katanya.
Beliau berkata, AMK tidak berminat untuk menghukum mana-mana pihak berdasarkan laporan semata-mata, namun perkara itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa sebarang penjelasan.
Menurutnya, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar wujud usaha tersusun untuk menggugat pentadbiran kerajaan negeri melalui jalan politik yang tidak melibatkan mandat baharu daripada rakyat.
“Persoalan yang perlu dijawab hari ini mudah. Adakah dakwaan rundingan itu benar atau tidak?
“Jika tidak benar, nafikan. Jika tidak berlaku, jelaskan. Jangan biarkan rakyat terus membuat kesimpulan sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan politik Negeri Sembilan perlu berteraskan mandat rakyat dan bukannya percaturan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
“Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas, bukan sekadar berdiam diri apabila nama pemimpin tertentu disebut dalam dakwaan yang begitu serius.
“Isu ini bukan lagi soal parti politik semata-mata, tetapi soal kepercayaan rakyat terhadap integriti pemimpin yang dipilih untuk mewakili mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















