Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri hari ini tampil menafikan dakwaan gagal menyediakan peluang pekerjaan bergaji premium kepada rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pelaksanaan agenda pekerjaan bergaji premium di Johor sudah lama dilaksanakan, malah bukan perkara baharu atau janji bermusim.

“Ia merupakan sebahagian perancangan strategik pembangunan bakat negeri yang diperkukuhkan melalui penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada November 2024.

“Sejak tahun 2022 hingga 2025, Johor berjaya mencipta sebanyak 75,573 peluang pekerjaan baharu hasil daripada keyakinan pelabur dan kemasukan pelaburan strategik ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membangkitkan isu dan dakwaan tersebut yang memaklumkan Johor tidak kekurangan bakat.

Menurut Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafiee, apa yang diperlukan ialah lebih banyak peluang pekerjaan yang mampu memberi masa depan lebih baik kepada anak muda.

Mengulas lanjut, Aznan berkata, lebih membanggakan sejak pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan JTDC, jumlah pekerjaan baharu mencatatkan peningkatan.

Jelasnya, ini melibatkan sebanyak 37 peratus dengan 24,584 pekerjaan baharu direkodkan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Melalui usaha JTDC juga katanya, seramai 8,537 anak muda Johor berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan melebihi RM4,000 sebulan setakat Mei lalu.

“Jadi persoalannya mudah. Jika benar seperti dakwaan sesetengah pihak bahawa tiada peluang pekerjaan bergaji premium diwujudkan di Johor, bagaimana ribuan anak muda Johor ini telah mendapat manfaat,” soalnya.

Beliau mendakwa, kenyataan seperti itu dikeluarkan apabila hampir musim pilihan raya dengan bermacam-macam cerita dimainkan.

“Ada yang tiba-tiba menjadi pakar ekonomi, ada yang mula mencari salah, malah ada yang cuba membina persepsi kononnya Kerajaan Negeri Johor gagal menyediakan peluang pekerjaan bergaji premium kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, sudah menjadi kelaziman menjelang pilihan raya ada pihak yang lebih selesa menjual persepsi daripada mengangkat fakta.

“Tetapi rakyat Johor hari ini bijak menilai. Mereka tidak mahu sekadar mendengar retorik politik. Mereka mahu melihat usaha, perancangan dan hasil,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast