Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson

KUALA LUMPUR – Keupayaan sesebuah parti politik meraih sokongan rakyat hanya dapat dibuktikan menerusi pilihan raya, bukannya melalui persepsi yang dibina menerusi media sosial atau kenyataan politik semata-mata.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, BK Kumaresan berkata, medan pilihan raya menjadi ukuran sebenar terhadap kekuatan organisasi, keutuhan kepimpinan serta tahap penerimaan rakyat terhadap sesebuah parti.

Menurutnya, parti yang benar-benar bersedia untuk memimpin perlu membina keyakinan rakyat melalui khidmat berterusan, rekod prestasi yang baik dan komitmen mendampingi masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kepercayaan rakyat tidak lahir daripada retorik atau persepsi sementara, tetapi melalui perjuangan, pengorbanan dan sumbangan yang dapat dilihat serta dirasai sendiri oleh rakyat.

“Kekuatan sesebuah parti juga tidak terletak pada jumlah kenyataan media yang dikeluarkan atau keaktifan di media sosial, sebaliknya pada kemampuan menggerakkan jentera, menyusun strategi dan menghadapi pilihan raya dengan kekuatan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi oleh publisiti atau persepsi yang dibina untuk meraih perhatian.

Katanya, politik yang sihat memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran dalam membina organisasi yang kukuh, selain kesediaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Kumaresan turut berpandangan sebarang peluang kerjasama politik yang diwujudkan perlu disambut dengan rasa tanggungjawab dan keikhlasan demi memperkukuhkan perjuangan bersama.

Menurut beliau, pelawaan daripada parti yang mempunyai pengalaman pilihan raya, kekuatan akar umbi dan jentera yang tersusun seharusnya dilihat sebagai peluang untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara kolektif.

“Kerjasama politik yang berasaskan saling menghormati dan kesediaan untuk bekerja akan sentiasa mendapat penghargaan rakyat.

“Sebaliknya, sikap yang lebih gemar menuntut pengiktirafan tanpa membuktikan kemampuan di lapangan hanya akan menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan sesebuah pihak,” katanya.

Tambah beliau, akhirnya rakyat akan membuat penilaian berdasarkan prestasi dan kemampuan sebenar sesebuah parti dalam menawarkan kepimpinan yang diyakini serta berupaya membentuk kerajaan yang stabil pada masa depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast