SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi kesemua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos depan.
Naib Presiden PH yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua rundingan kerusi termasuk membabitkan kawasan yang sebelum ini memerlukan penelitian lanjut berjaya diselesaikan secara muafakat.
Menurutnya, selepas isu pengagihan kerusi diselesaikan, seluruh jentera parti perlu memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Pembahagian kerusi sudah selesai. Sekarang masanya untuk kita bekerja dan memastikan kemenangan.
“Matlamat kita jelas iaitu mempertahankan kerajaan negeri yang ada hari ini dan memastikan mandat rakyat terus dipertahankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di sini malam ini.
Beliau berkata, setiap penyokong dan anggota parti yang hadir pada majlis berkenaan perlu menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada jentera pilihan raya yang akan memainkan peranan masing-masing sepanjang tempoh kempen.
Katanya, ada yang akan bertindak sebagai penceramah, penggerak kempen rumah ke rumah, petugas lapangan, pengedar risalah dan pasukan logistik yang membantu perjalanan kempen.
“Pilihan raya tidak dimenangi oleh calon sahaja. Ia dimenangi oleh jentera yang bekerja siang dan malam untuk menyampaikan mesej parti kepada rakyat.
“Saya anggap semua yang hadir malam ini sebagai juru kempen yang mempunyai tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan jentera PH supaya mengangkat mesej perpaduan sebagai teras utama kempen khususnya dalam suasana politik yang sering dipengaruhi sentimen kaum dan agama.
Menurutnya, rakyat perlu diyakinkan masa depan negara bergantung kepada kemampuan masyarakat berbilang kaum untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami.
“Kita perlu menawarkan harapan kepada rakyat khususnya generasi muda. Politik tidak boleh hanya berkisar kepada kebencian dan perpecahan.
“Kita mesti bercakap tentang masa depan yang ingin kita wariskan kepada anak-anak dan cucu kita,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, landskap politik semasa berbeza berbanding pilihan raya terdahulu susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Justeru pendekatan menyerang rakan kerjasama dalam kerajaan tidak lagi sesuai dan jentera perlu menyesuaikan strategi kempen dengan keadaan politik semasa.
Sebaliknya, beliau mahu jentera memberi fokus kepada rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbiran PH, termasuk pertumbuhan pelaburan, pembangunan ekonomi dan peningkatan kedudukan kewangan negeri.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami rakyat supaya manfaatnya dapat dilihat secara langsung.
“Jangan hanya bercakap mengenai angka pelaburan atau jumlah rizab negeri. Terangkan bagaimana pelaburan mewujudkan peluang pekerjaan, bagaimana pembangunan membantu masyarakat dan bagaimana pentadbiran yang baik memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Apabila rakyat memahami manfaat yang mereka nikmati, mereka akan membuat keputusan berdasarkan rekod dan prestasi,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera di 36 DUN supaya memperhebatkan gerak kerja bermula sekarang bagi memastikan PH terus mendapat mandat mentadbir Negeri Sembilan selepas PRN nanti. – MalaysiaGazette
















