KUALA LANGAT – Sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Pandan 8, Taman Dato Hormat di sini mengalami kebakaran serius pagi tadi, mengakibatkan kira-kira 60 peratus struktur bangunan musnah dijilat api.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 pagi.

Menurut beliau, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang bersama sebuah lagi jentera bantuan dari BBP Andalas segera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.27 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis Kelas A berkeluasan 1,200 kaki persegi.

“Setibanya anggota di lokasi, didapati kebakaran berlaku di bahagian tingkat atas rumah dan merebak sehingga memusnahkan kira-kira 60 peratus bangunan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh anggota bomba bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke struktur berhampiran.

Seramai 10 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Aznie Mohd Thahir.

Ahmad Mukhlis juga memaklumkan, operasi masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan kerja-kerja pemadaman sedang diteruskan.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu sehingga kini, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

“Ketua Balai turut telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan operasi di lokasi kejadian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast