jurucakap UMNO
Noor Azleen Ambrose

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan pertembungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tetapi proses demokrasi untuk rakyat menentukan mandat pentadbiran negeri.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang didakwa cuba memanipulasi sentimen hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri menjelang PRN Johor amat dikesali.

“Pilihan raya negeri tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menjatuhkan mana-mana kerajaan, sebaliknya sebagai ruang demokrasi untuk rakyat memilih gabungan politik yang diyakini mampu mentadbir negeri.

“PRN bukan soal siapa lawan siapa atau siapa mahu menjatuhkan sesiapa. Ia adalah proses demokrasi untuk rakyat memberikan mandat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) Johor tidak memasuki pilihan raya dengan niat meruntuhkan kerajaan sedia ada, sebaliknya untuk mempertahankan serta memperkukuh pentadbiran negeri melalui muafakat yang telah dibina.

Katanya, BN Johor akan terus menawarkan visi dan pelan tindakan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan lebih empat juta rakyat negeri ini, sekiranya diberi mandat untuk terus mentadbir.

Pada masa sama, beliau menegaskan cubaan menggambarkan PRN Johor sebagai konflik antara kerajaan Pusat dan negeri tidak wajar dibangkitkan kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

“Ini adalah pertandingan antara parti politik dalam sistem demokrasi, bukannya konflik antara dua peringkat kerajaan,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai meminggirkan Johor atas faktor politik akan mencerminkan pendirian pihak terbabit, bukan pendirian BN Johor.

“Rakyat berhak membuat pilihan tanpa ugutan atau tekanan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast