ST PETERSBURG – Seorang anak muda Malaysia terus mengukir nama di pentas antarabangsa apabila mengetuai pelancaran rasmi The Diplomatic Council (TDC) pada St. Petersburg International Economic Forum (SPIEF) 2026 di Rusia baru-baru ini.
Untuk makluman ini merupakan forum ekonomi berprestij yang menghimpunkan pemimpin dunia, diplomat dan tokoh perniagaan dari pelbagai negara.
Presiden TDC, Nehsan Selvaraj berkata, penubuhan organisasi itu lahir daripada keperluan untuk mewujudkan platform yang mampu menghubungkan negara, institusi dan masyarakat dalam usaha memperkukuh diplomasi, kepimpinan serta kerjasama antarabangsa.
Menurut beliau, dunia kini berdepan cabaran yang semakin kompleks merangkumi aspek geopolitik, ekonomi dan kemanusiaan, memerlukan pendekatan lebih inklusif dan berasaskan dialog bagi mencari penyelesaian bersama.
“Pelancaran The Diplomatic Council bukan sekadar mengenai penubuhan sebuah organisasi baharu.
“Ia adalah komitmen kolektif untuk membina jambatan antara negara, menggalakkan persefahaman antara masyarakat yang berbeza latar belakang dan memperkukuh kepimpinan yang bertanggungjawab.
“Pada saat dunia berhadapan pelbagai cabaran global, diplomasi kekal sebagai antara instrumen paling berkuasa untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kemajuan yang berkekalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran TDC di SPIEF 2026.

Beliau berkata, TDC akan memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, penyelidikan dasar, diplomasi budaya, program kemanusiaan serta penglibatan generasi muda dalam hal ehwal antarabangsa melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan di peringkat serantau dan global.
Bercakap kepada MalaysiaGazette selepas majlis pelancaran itu, Nehsan berkata, beliau berharap kewujudan TDC dapat membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda, termasuk dari Malaysia, untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan dan pembangunan dasar di peringkat antarabangsa.
“Ramai anak muda mempunyai idea dan potensi yang besar, namun tidak semua mempunyai akses kepada platform antarabangsa.
“Kita mahu membantu mewujudkan ruang tersebut supaya lebih ramai bakat muda dapat menyumbang kepada pembangunan global.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya negara kita mempunyai ramai individu berbakat yang mampu memainkan peranan penting dalam diplomasi, inovasi dan pembangunan antarabangsa sekiranya diberikan peluang sewajarnya,” katanya.
Pelancaran TDC turut menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan kerjaya Nehsan yang sebelum ini mencipta sejarah sebagai penyampai berita termuda dunia pada usia 19 tahun selepas menyertai Bernama TV dan mengendalikan siaran berita waktu perdana agensi berita nasional itu pada 2018.
Pada tahun yang sama, beliau turut dilantik sebagai Pemerhati Pilihan Raya Antarabangsa yang terlibat dalam proses pemantauan pilihan raya di beberapa negara termasuk Rusia, Congo, Zimbabwe, Madagascar dan Afrika Selatan.
Selain dunia penyiaran dan diplomasi, Nehsan turut dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu dan komposer yang aktif dalam industri hiburan tempatan sebelum mengembangkan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

Beliau kini menerajui Kumpulan Nehsan yang mempunyai operasi di beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu, Malaysia, Kuwait, Oman, Bahrain, Arab Saudi, Qatar, Sri Lanka dan India.
Pada usia 27 tahun, perjalanan Nehsan daripada bilik berita di Malaysia ke pentas diplomasi antarabangsa di Rusia menjadi contoh bagaimana anak muda tempatan mampu mencipta pengaruh merentasi pelbagai bidang apabila diberi peluang dan ruang untuk berkembang. – MalaysiaGazette















