KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 kerana membenarkan satu pernyataan palsu dibuat kepada SSM berhubung pelantikannya sebagai pengarah syarikat.
SSM dalam kenyataannya berkata, tertuduh, Juliana Jamian yang merupakan pengarah syarikat UTS Maju Construction Sdn. Bhd. sebelum ini didakwa di mahkamah yang sama pada 19 Mei 2025 atas tiga pertuduhan di bawah seksyen yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, pada prosiding sebutan semula pada 21 Mei 2026, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada bersalah bagi satu pertuduhan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan melalui rundingan akuan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Dalam menentukan hukuman, mahkamah turut mengambil kira dua lagi pertuduhan lain selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus prosiding selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bersama Pegawai Pendakwa SSM, Farieza Hazreen Salehuddin dan Hamizah Sobree. Tertuduh diwakili peguam bela Muhamad ‘Aizat Adli.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM. -MalaysiaGazette















