KUALA LUMPUR – Belia PPP Kebangsaan menggesa kerajaan supaya tidak mengalihkan tumpuan daripada isu pengangguran khususnya melibatkan golongan muda meskipun negara ketika ini sedang melalui musim Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Ketua Belia PPP Kebangsaan, Janarthanan Velliathum berkata, peningkatan kadar pengangguran negara kepada tiga peratus dengan jumlah 511,800 individu yang masih menganggur membuktikan cabaran pasaran pekerjaan masih belum ditangani secara menyeluruh.
Menurut beliau, keadaan itu lebih membimbangkan apabila kadar pengangguran belia kekal tinggi pada 10.2 peratus, melibatkan kira-kira 290,800 anak muda yang masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan.
“Ketika perhatian banyak tertumpu kepada PRN yang sedang berlangsung, kerajaan tidak boleh membiarkan fokus terhadap kebajikan ekonomi rakyat terpesong.
“Pengangguran belia bukan sekadar angka statistik, tetapi realiti yang memberi kesan langsung kepada masa depan generasi muda serta kestabilan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Janarthanan berkata, laporan media sebelum ini menunjukkan jumlah penganggur meningkat apabila pertumbuhan peluang pekerjaan tidak bergerak seiring dengan pertambahan individu yang memasuki pasaran buruh.
Katanya, situasi itu menunjukkan masih wujud jurang yang perlu ditangani segera bagi memastikan lebih ramai rakyat khususnya golongan belia, mendapat akses kepada pekerjaan yang stabil dan berkualiti.
Sehubungan itu, Janarthanan berkata, kerajaan perlu memberi perhatian lebih serius terhadap usaha mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh program latihan kemahiran serta memperluaskan akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau turut mengingatkan cabaran pengangguran menjadi lebih kritikal ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Ramai belia bukan sahaja sukar mendapatkan pekerjaan, malah terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan akademik dan kemahiran yang dimiliki.
“Proses politik akan berakhir namun tanggungjawab memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan masa depan yang lebih terjamin mesti kekal menjadi keutamaan sepanjang masa,” tegasnya. – MalaysiaGazette















