Penduduk Kampung Jus Permai, Selandar Melaka fail semakan kehakiman terhadap projek telekomunikasi.

MELAKA – Penduduk Kampung Jus Permai, Selandar di sini memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaya di sini berhubung projek pembinaan menara telekomunikasi setinggi 60 meter di Lot 2745.

Difahamkan semakan itu dibuat dengan alasan proses kelulusan dan konsultasi awam didakwa tidak dilaksanakan secara telus.

Peguam yang mewakili Persatuan Penduduk Kampung Jus Permai, Mathan Anandaram berkata, permohonan kebenaran semakan kehakiman itu difailkan pada 15 Jun lalu dan pengurusan kes ditetapkan pada 20 Julai depan.

Beliau berkata, penduduk tidak menolak pembangunan atau kemajuan teknologi, sebaliknya menuntut hak mereka untuk didengar serta memastikan setiap projek yang dilaksanakan mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan masyarakat setempat.

“Ini bukan perjuangan menentang pembangunan tetapi usaha memastikan pembangunan dilaksanakan secara telus, selamat dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Penduduk berhak mendapatkan maklumat yang lengkap dan diberikan ruang yang bermakna untuk menyuarakan pandangan mereka sebelum sesuatu projek dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Projek pembinaan menara telekomunikasi setinggi 60 meter di Lot 2745.

Menurut Mathan, hasil lawatan tapak mendapati pembinaan menara itu sedang giat dijalankan di kawasan berbukit dan bercerun yang terletak berhampiran penempatan penduduk.

Katanya, penduduk mendakwa hanya dimaklumkan secara rasmi mengenai kelulusan projek menerusi surat daripada Majlis Perbandaran Jasin bertarikh 16 Mac lalu walaupun kelulusan projek berkenaan telah diberikan lebih awal.

“Penduduk telah beberapa kali mengemukakan bantahan, menghadiri sesi libat urus, menyerahkan memorandum serta mencadangkan lokasi alternatif yang lebih sesuai.

“Namun mereka merasakan kebimbangan yang dibangkitkan tidak diberikan perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berkata, antara kebimbangan utama yang dibangkitkan penduduk ialah kedudukan tapak projek yang terlalu hampir dengan kawasan kediaman, faktor cerun dan risiko keselamatan, kekurangan akses kepada dokumen berkaitan kelulusan projek serta persoalan mengenai keberkesanan proses konsultasi yang dijalankan.

Dalam pada itu, Mathan mengendalikan kes berkenaan secara pro bono tanpa mengenakan sebarang bayaran guaman kepada persatuan penduduk kerana percaya akses kepada keadilan tidak seharusnya bergantung kepada kemampuan kewangan semata-mata.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan perjalanan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast