Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran

KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi awam tidak sepatutnya dijadikan medium untuk menggalakkan penukaran agama kerana universiti milik kerajaan merupakan ruang yang perlu kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia, tegas Senator Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang membidas gesaannya supaya siasatan dijalankan berhubung poster tular berkaitan pendaftaran saudara baharu (mualaf) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Lingeshwaran, isu yang dibangkitkan bukanlah berkaitan hak penganut Islam untuk menyebarkan ajaran agama.

Sebaliknya melibatkan persoalan sama ada institusi pendidikan awam wajar digunakan sebagai platform yang boleh menimbulkan persepsi kurang sihat dalam kalangan masyarakat.

“Institusi pendidikan awam di Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang. Justeru, institusi ini tidak wajar sama sekali dimanipulasi atau dieksploitasi sebagai platform untuk menggalakkan penukaran agama.

“Sama ada secara langsung atau melalui pemberian insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persepsi yang tidak sihat.

“Perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk penyalahgunaan institusi awam yang sepatutnya kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun kebebasan beragama dan ruang untuk penyebaran ajaran Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dilaksanakan secara beretika, berhemah dan tidak melibatkan institusi pendidikan awam sebagai medium yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.

“Institusi pengajian tinggi perlu kekal sebagai ruang pembangunan ilmu pengetahuan, pemikiran kritis dan pembentukan sahsiah pelajar, bukannya medan yang boleh menimbulkan keresahan atau rasa tidak selesa dalam kalangan mana-mana pihak.

“Sebagai sebuah negara yang dibina atas asas kepelbagaian, kita perlu terus memelihara semangat saling menghormati dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

“Sebarang usaha penyebaran agama hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab tanpa melibatkan institusi awam yang dibiayai oleh seluruh rakyat Malaysia,” tegas beliau.

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Terdahulu, Mohd Khairuddin membidas gesaan Lingeshwaran yang meminta siasatan dijalankan berhubung poster tular di media sosial yang menyenaraikan beberapa manfaat kepada mahasiswa UPSI yang merupakan saudara baharu Islam, termasuk pengecualian yuran pengajian.

Menurut Mohd Khairuddin, Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan penyebaran ajaran Islam boleh dilaksanakan di mana-mana termasuk di institusi pengajian tinggi seperti UPSI selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pemimpin DAP bukan Islam ini sedar ke tak sedar diri. Kamu rakyat Malaysia, sebuah negara Islam. Islam boleh disebar dan dikembangkan di mana-mana dalam negara ini menurut Perlembagaan termasuk di pusat pengajian tinggi seperti UPSI,” katanya.

Isu itu tercetus selepas poster bertajuk ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan awam kerana ia didakwa menawarkan beberapa manfaat kepada pelajar yang memeluk Islam.

Bagaimanapun, UPSI kemudiannya menjelaskan bahawa poster berkenaan tidak pernah dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak pengurusan universiti serta tidak pernah disebarkan menerusi mana-mana saluran rasmi universiti.

Lingeshwaran sebelum ini turut menggesa satu siasatan yang telus dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan poster tersebut, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast