Antara lelaki yang ditahan dalam sebuah operasi di Tanjung Lobang. Foto - Facebook Polis Daerah Miri

KUALA LUMPUR – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah rumah banglo di Tanjung Lobang, Miri, Sarawak terbongkar selepas diserbu polis dalam satu operasi khas.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 17 Jun lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi yang dibeli daripada beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya Miri sebelum dijual kepada sindiket pada harga yang dipersetujui.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan tangki kenderaan persendirian dan tong jenis jerry can untuk membeli diesel bersubsidi sebelum memindahkannya ke dalam tangki yang disediakan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas kira-kira 15,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta beberapa tangki dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM131,079.

Kes kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Mohd Farhan Lee berkata, kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, malah menjejaskan rantaian bekalan bahan api kepada pengguna yang layak.

Beliau turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya tidak bersekongkol dengan sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau KPDN Cawangan Miri bagi membantu usaha membanteras jenayah penyeludupan dan penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast