Seorang lelaki Rohingya ditahan anggota Unit Penguatkuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah dalam Ops Pemandu Warganegara Asing (PEWA) di Changlun selepas didapati memandu tanpa lesen yang sah. - Foto JPJ Kedah

KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki Rohingya yang dipercayai mengusahakan sebuah premis cuci kenderaan (car wash) ditahan dalam Operasi Pemandu Warganegara Asing (PEWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di sekitar Changlun.

Lelaki terbabit ditahan oleh Unit Penguatkuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah ketika sedang membeli keperluan bagi perniagaan yang diusahakannya.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek memandu kenderaan tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

Selain itu, kenderaan yang digunakan turut didapati mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh serta tidak dilindungi insurans yang masih berkuat kuasa.

Susulan pelbagai kesalahan yang dikesan, JPJ Kedah mengambil tindakan menyita kenderaan terbabit sebelum dibawa ke Depoh Sita JPJ Kedah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut JPJ Kedah, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya tanpa mengira status atau kewarganegaraan,” menurut kenyataan itu.

Operasi PEWA merupakan antara usaha berterusan JPJ bagi membanteras kesalahan melibatkan pemandu warga asing selain meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya di negara ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast