JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar terhadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang didakwa berlindung di sebalik istana ketika menjawab kritikan politik sebagai cubaan membina naratif jahat dan mengelirukan.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, kenyataan Mahfuz itu didakwa semata-mata untuk meraih perhatian politik dan tidak memahami sejarah serta peranan institusi diraja di negeri ini.
“Sebagai pemimpin politik luar Johor, beliau sepatutnya memahami terlebih dahulu budaya, sejarah dan sistem pentadbiran Johor sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap kepimpinan negeri ini.
“Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak pernah berlindung di sebalik Istana Johor seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaliknya jelas Md Israk, Onn Hafiz hanya menjelaskan realiti pentadbiran Johor yang sentiasa menjunjung tinggi institusi diraja sebagai payung rakyat serta institusi strategik yang memberikan panduan, nasihat dan teguran demi memastikan kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan negeri terus terpelihara.
“Mengiktiraf peranan institusi diraja dalam pentadbiran bukanlah satu bentuk perlindungan politik, sebaliknya mencerminkan penghormatan terhadap tradisi dan sistem pemerintahan yang telah menjadi kekuatan Johor sejak sekian lama,” katanya.
Jelasnya, di Johor hubungan antara pemimpin, rakyat dan institusi diraja bukan sesuatu yang boleh dipisahkan kerana merupakan sebahagian daripada identiti negeri ini.
Rakyat Johor katanya, memahami bahawa Istana Johor sentiasa dekat dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri demi memastikan kepentingan Bangsa Johor sentiasa terpelihara.
Justeru katanya, amat tidak wajar apabila Mahfuz cuba menggambarkan seolah-olah menyebut peranan institusi diraja dalam pentadbiran negeri adalah satu bentuk perlindungan politik.
Tegasanya, naratif sebegitu hanya memperlihatkan kegagalan Mahfuz memahami semangat Johor dan keistimewaan hubungan yang sudah lama terbina antara istana, kerajaan dan rakyat negeri ini.
“Johor mempunyai acuan dan kekuatannya yang tersendiri. Kami tidak memerlukan pihak luar datang mengajar atau mentafsir hubungan antara Istana Johor dan rakyatnya.
“Hormatilah budaya serta sejarah negeri ini. Johor dengan cara Johor. Pemimpin dan rakyat berpisah tiada, manakala Istana Johor kekal menjadi payung serta kebanggaan Bangsa Johor,” katanya.
Semalam Mahfuz dilaporkan berkata, maklum balas Onn Hafiz terhadap teguran dan nasihat Perdana Menteri dengan mengaitkan peranan dan hubungan dengan institusi diraja disifatkan tidak wajar dalam konteks menjawab kritikan dan teguran politik.
Mahfuz berkata, institusi Raja-Raja Melayu merupakan payung negara dan lambang perpaduan rakyat yang wajib dihormati oleh semua pihak.
Sehubungan itu, menurutnya, institusi yang begitu tinggi martabatnya tidak seharusnya dijadikan benteng atau perisai untuk mempertahankan kedudukan politik mana-mana individu.
Ujarnya, apa yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah persoalan politik, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Maka, tambahnya, jawapan yang sepatutnya diberikan juga mestilah berasaskan fakta politik, rekod pentadbiran dan sikap kepimpinan, bukannya dengan mengheret institusi istana ke dalam polemik politik semasa.
Sebelum ini, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan beliau bukan bersikap sombong seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja dan memelihara kesejahteraan rakyat Johor.
Maklum balas itu susulan Anwar ketika menyampaikan ceramah di Muar baru-baru ini, menggesa rakyat di negeri itu memilih pemimpin yang bijak dan tidak sombong serta sealiran dengan Putrajaya bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah. – MalaysiaGazette
















