Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

KARACHI (Pakistan) – Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif tiba di Switzerland pada pagi Ahad bagi menghadiri rundingan peringkat teknikal antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik bersenjata di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Sharif bersama Panglima Tentera Pakistan, Fil Marsyal Asim Munir akan mewakili Pakistan dalam rundingan mengenai pelaksanaan Memorandum Persefahaman Islamabad di Burgenstock, menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

Delegasi peringkat tinggi dari Iran, Qatar dan AS turut akan mengambil bahagian dalam rundingan itu, yang merupakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pihak yang berkonflik sejak Memorandum Persefahaman Islamabad ditandatangani pada Rabu.

“Pakistan akan terus menyokong dan memajukan pelaksanaan persefahaman yang dicapai antara Iran dan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.

Di luar sesi rundingan, Sharif turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan delegasi dari Iran, Qatar, Switzerland dan AS bagi menegaskan semula “komitmen berterusan Pakistan terhadap dialog dan keamanan berkekalan di rantau ini.”

Pemeteraian perjanjian itu oleh Presiden AS Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian telah membuka jalan kepada rundingan secara langsung di Switzerland.

AS dan Iran pada asalnya dijadual mengadakan rundingan itu di Switzerland pada Jumaat bagi memulakan tempoh rundingan selama 60 hari, namun ia ditangguhkan.

Selepas berjaya memeterai gencatan senjata pada 8 April, Pakistan menjadi tuan rumah kepada rundingan langsung peringkat tertinggi antara Washington dan Tehran pada 12 hingga 13 April, yang pertama sejak kedua-dua negara memutuskan hubungan diplomatik pada 1979. – BERNAMA-ANADOLU

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast