KUALA LUMPUR – Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (PN) Perikatan Nasional (PN) yang dijadual berlangsung malam esok di ibu pejabat Pas dijangka menjadi medan penting menentukan hala tuju gabungan pembangkang itu, termasuk status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menurut sumber.
Sumber yang mengetahui perjalanan mesyuarat tersebut berkata, agenda utama yang disenaraikan sebagai “Keanggotaan Perikatan Nasional” dilihat memberi petunjuk bahawa isu berkaitan kedudukan parti komponen akan menjadi fokus utama perbincangan.
Menurut beliau lagi, perkembangan itu hadir ketika hubungan antara Pas dan Bersatu dilihat semakin tegang selepas beberapa siri pertikaian terbuka membabitkan kepimpinan kedua-dua parti sejak kebelakangan ini.
“Agenda yang dihantar kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi PN ialah berkaitan keanggotaan PN. Sebab itu ramai melihat mesyuarat ini bukan mesyuarat biasa tetapi mesyuarat yang boleh menentukan masa depan gabungan itu,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.
Sumber berkenaan tidak menolak kemungkinan mesyuarat tersebut akan membincangkan kedudukan Bersatu dalam PN memandangkan Pas sebelum ini telah mengambil pendirian untuk menamatkan hubungan politik dengan parti berkenaan.
“Kalau hubungan sudah diputuskan, timbul persoalan bagaimana kedua-dua parti boleh terus berada dalam satu gabungan yang sama. Sebab itu ada pihak melihat isu keanggotaan Bersatu akan dibincangkan secara serius,” katanya.
Bagaimanapun, sumber sama berkata, satu lagi kemungkinan ialah PN akan membincangkan kemasukan Parti Wawasan Negara (Wawasan) ke dalam gabungan tersebut bagi memperkukuhkan blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Jelasnya, ia dilakukan selepas parti itu didakwa telah selesai mengadakan mesyuarat Agung pertamanya.
Mesyuarat tergempar itu dipanggil susulan arahan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan notis rasmi dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 18 Jun lalu mengikut Fasal 10 dan Fasal 12 Perlembagaan PN.
Perhatian kini tertumpu kepada kehadiran wakil-wakil Bersatu dalam mesyuarat berkenaan serta keputusan yang bakal dicapai, terutama jika ia melibatkan perubahan besar terhadap struktur dan keanggotaan gabungan tersebut.
Sekiranya isu kedudukan Bersatu benar-benar dibawa ke meja mesyuarat, keputusan yang dicapai malam esok berpotensi menjadi antara detik paling penting dalam sejarah PN sejak gabungan itu ditubuhkan, sekali gus mengubah landskap pembangkang negara menjelang pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

















MESYUARAT TEBUK ATAP LAH TU. INI HUKUM KARMA