Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon-calon PH yang akan bertanding pada PRN Johor ke-16 pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

TANGKAK – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah penting bagi memastikan kestabilan politik negara serta mengekalkan kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PH akan tetap meneruskan perjuangan dan berdepan mana-mana pihak yang enggan bekerjasama atau duduk semeja dengan gabungan itu pada PRN Johor.

Menurutnya, kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PH akan digerakkan sebagai satu pasukan tanpa mengira calon daripada parti komponen iaitu PKR, DAP atau Amanah.

“Ada pihak yang merasakan mereka lebih kuat dan tidak mahu duduk semeja dengan kita. Maka PH akan lawan kerana semangat kita tetap lawan.

“Daripada 56 kerusi ini, akan ada calon daripada Amanah, DAP dan PKR. Tidak kira siapa calon, kita akan undi semua calon PH,” katanya ketika berucap pada pelancaran jentera PRN Johor di Bukit Gambir di sini malam ini.

Anthony berkata, gabungan itu menampilkan kombinasi calon berpengalaman dan muka baharu termasuk golongan muda serta wanita bagi memperkukuhkan peluang kemenangan PH.

Menurutnya, DAP mempertaruhkan 17 calon dengan lapan daripadanya wanita, manakala calon termuda berusia 28 tahun.

“Kita percaya kepada kepimpinan wanita dan ramai juga dalam kalangan anak muda yang diketengahkan.

“Kita mempunyai kombinasi calon yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai kredibiliti tinggi. Kesemua 56 calon ini akan masuk gelanggang sebagai satu pasukan yang kuat,” katanya.

Beliau menegaskan, kemenangan PH di Johor bukan sahaja penting untuk negeri itu, malah memberi impak kepada kestabilan kerajaan Persekutuan.

“Kenapa kemenangan di Johor penting? Kerana ia berkait rapat dengan kestabilan di Putrajaya.

“Jika hendak Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri, kita perlu menang di Johor,” katanya.

Tambah beliau, selepas lebih tiga tahun pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar, pelbagai perkembangan positif berjaya dicapai termasuk membawa lebih banyak pembangunan dan pelaburan ke Johor.

Katanya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut menjadi faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri berkenaan.

“Di Johor banyak pembangunan yang berlaku hasil sumbangan kerajaan Persekutuan. Jika tiada hubungan yang baik, tidak mungkin begitu banyak pelabur dapat dibawa masuk ke Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast