GEORGE TOWN – Seramai 12 lelaki tempatan ditahan menerusi Op Soga XI di negeri ini bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan di seluruh negeri bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Operasi ini, katanya telah melaksanakan 12 serbuan serta menahan 12 lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 72 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut, selain merampas wang tunai berjumlah RM8,692.
“Semakan kita juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah
“Dalam operasi ini juga, sebanyak 12 laman sesawang iaitu laman web, platform, aplikasi dan media sosial telah dikesan digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi aktiviti perjudian.
“Tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dilaksanakan dengan bantuan SKMM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah Dennis Lim, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan mengikut peruntukan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“PDRM Kontinjen Pulau Pinang akan terus memperhebatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian, khususnya perjudian dalam talian yang semakin mendapat perhatian sindiket untuk menjalankan kegiatan mereka.
“Orang ramai turut diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – MalaysiaGazette















