KUALA LUMPUR – Penyertaan parti Wawasan Negara dalam Perikatan Nasional (PN) bakal menjadi nilai tambah kepada kekuatan sedia ada gabungan itu terutamanya dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebagai parti berwajah Malaysia, Wawasan Negara membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional.
“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi PN atas kepercayaan menerima Parti Wawasan Negara sebagai parti anggota dalam PN.
Terdahulu, Hamzah memaklumkan, Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM), Sabtu lalu, secara sebulat suara bersetuju penjenamaan semula dengan Wawasan Negara dipilih sebagai nama baharu parti.
“Keputusan ini membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada Wawasan Negara, malah kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional selaku gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk memimpin Malaysia,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette
















