Dr Hartini Zainuddin

KUALA LUMPUR – Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainuddin menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengharamkan perkahwinan kanak-kanak serta menjelaskan status komitmen yang pernah dibuat untuk menamatkan amalan itu sejak lapan tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit dilaksanakan meskipun kerajaan sebelum ini berjanji untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, Pelan Strategi Kebangsaan Menangani Punca Perkahwinan Kanak-Kanak 2020 hingga 2025 yang melibatkan 61 agensi kerajaan, 17 strategi dan 58 program kini telah tamat tempoh tanpa sebarang laporan kemajuan didedahkan kepada Parlimen atau orang ramai.

“Kita sudah mempunyai pelbagai manifesto, pelan tindakan dan pengisytiharan, namun apa yang masih belum ada ialah larangan terhadap perkahwinan kanak-kanak.

“Komitmen itu tidak pernah dibatalkan secara rasmi, tetapi ia juga tidak pernah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hartini berkata, penurunan jumlah perkahwinan kanak-kanak yang didaftarkan daripada 1,467 kes pada 2019 kepada 923 kes pada 2023 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menganggap masalah itu telah selesai.

Katanya, angka berkenaan masih membimbangkan kerana ia menunjukkan hampir 1,000 kanak-kanak berkahwin dalam tempoh setahun, selain hanya mengambil kira kes yang didaftarkan secara rasmi.

Beliau turut membangkitkan ketidakselarasan undang-undang antara negeri yang disifatkan sebagai kegagalan sistem yang perlu ditangani segera.

Menurutnya, hanya Selangor dan Kedah telah menetapkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, namun kedua-dua negeri itu masih mengekalkan pengecualian yang membolehkan hakim Mahkamah Syariah meluluskan perkahwinan bawah umur.

Beliau berkata, Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka, Perak dan Wilayah Persekutuan pula pernah bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan perkara itu, namun sehingga kini tiada perkembangan diumumkan.

Pada masa sama, katanya, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Kelantan dilaporkan menolak cadangan tersebut.

Hartini berkata, Sarawak boleh dijadikan contoh apabila kerajaan negeri itu kini sedang melaksanakan proses libat urus bagi menyeragamkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di bawah undang-undang sivil, syariah dan adat.

“Ini membuktikan bahawa perlindungan kanak-kanak dan sensitiviti budaya boleh bergerak seiring sekiranya ada kesungguhan politik.

“Persoalannya, mengapa negeri-negeri lain tidak melakukan perkara yang sama?” soalnya.

Beliau turut menolak hujah bahawa pengharaman perkahwinan kanak-kanak akan menjejaskan hukum agama, adat atau hak negeri.

Sebaliknya, kata Hartini, larangan itu hanya bermaksud negara tidak lagi mengiktiraf perkahwinan yang melibatkan individu bawah umur, bukannya menghapuskan budaya atau tradisi masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera membentangkan laporan penuh Pelan Strategi Kebangsaan Menangani Punca Perkahwinan Kanak-Kanak 2020 hingga 2025, selain menggubal undang-undang yang menetapkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi semua rakyat Malaysia.

“Sudah tiba masanya setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat perlindungan yang sama tanpa mengira agama, negeri atau latar belakang mereka.

“Persoalan yang perlu dijawab sekarang ialah, apa yang berlaku kepada komitmen untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak dan bilakah kerajaan akan bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast