Mohammad Aswad Ithnain

JOHOR BAHRU – Kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah dimaklumkan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) dibuat atas ‘arahan’ pihak istana boleh mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, susulan itu pergerakan pemuda negeri di beberapa bahagian akan membuat laporan polis hari ini.

Menurutnya, tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan keluar parti dan mengaitkannya dengan pihak istana.

“Kebanyakan yang keluar parti menjelang pilihan raya adalah sebab tak dapat jadi calon atau anak tak jadi calon. Orang tua patut bagi contoh yang baik kepada anak muda.

“Alasan keluar parti pun tak relevan. Lebih kepada frust. Dia nak banding dengan kemasukan KJ (Khairy Jamaluddin) dan H2O (Hishammuddin Hussein). Jauh beza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aswad berkata, UMNO tidak tergugat dan tidak ada yang lebih besar daripada parti.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/06/25/tidak-mahu-dipimpin-pengecut-politik-puad-zarkashi-keluar-umno/

“tiada yg lebih besar daripada perjuangan parti. Berjaya menyiarkan beberapa siri podcast bukan ukuran kejayaan.

“Ini bukan kekurangan UMNO tapi ianya adalah masalah sikap egois sesetengah orang yang kebetulan berada dalam UMNO,” katanya.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mengumumkan keluar UMNO berkuat kuasa serta merta.

Puad juga mendakwa, berlaku campur tangan istana dalam keputusan UMNO Johor selain menuduh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz hanya ‘pak turut’ istana.

“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat sesuatu keputusan.

“Satu bukti jelas ialah YAB Dato Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026 (ahad). Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026,” dakwa Puad.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast