Kulat baharu yang dinamakan Metarhizium tawauensis sp. nov. itu ditemukan dan dikumpulkan pada Januari 2023 di Taman Botani, Taman Bukit Tawau.

 

KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menemukan spesies baharu kulat pembunuh serangga di Taman Bukit Tawau, sekali gus menjadi rekod pertama seumpamanya di dunia.

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa pada 24 Jun lalu.

Spesies baharu tersebut dinamakan Metarhizium tawauensis sp. nov. selepas ditemui pada Januari 2023 di Taman Botani, Taman Bukit Tawau.

Kulat berkenaan ditemui pada seekor serangga dewasa daripada kumpulan Hemiptera yang tertanam di dalam tanah berhampiran orkid Plocoglottis plicata.

Spesies itu dikenal pasti menerusi ciri-ciri unik seperti stromata berwarna coklat gelap hingga kehitaman, peritecia terbenam, askospora berbilang septa serta konidia berbentuk sfera dengan dinding licin.

Pengesahan spesies dilakukan melalui pemeriksaan morfologi, mikroskop elektron imbasan serta analisis filogenetik pelbagai gen.

Kajian itu diketuai penyelidik doktor falsafah (PhD) di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), Muhammad Shahbaz, di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan dengan kerjasama Sabah Parks dan University College Sabah Foundation.

Menurut Dr. Jaya Seelan, penemuan itu membuktikan hutan Sabah masih menyimpan banyak spesies yang belum didokumentasikan oleh dunia sains.

“Genus Metarhizium kini mempunyai 92 spesies yang diiktiraf di seluruh dunia. Penemuan spesies baharu di Sabah menunjukkan sebahagian besar biodiversiti Borneo masih belum diterokai dan dinamakan,” katanya.

Kulat daripada genus Metarhizium terkenal kerana kebolehannya menjangkiti dan membunuh serangga, malah beberapa spesies daripadanya telah digunakan dalam sektor pertanian sebagai alternatif semula jadi kepada racun perosak kimia.

Penemuan M. tawauensis dijangka membuka ruang kepada penyelidikan lanjut mengenai potensinya dalam pengurusan perosak.

Sementara itu, Pengarah ITBC, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, penemuan tersebut menunjukkan hutan hujan Sabah masih menyimpan khazanah biodiversiti yang belum diterokai sepenuhnya.

“Setiap spesies baharu yang dikenal pasti merupakan sebahagian daripada warisan semula jadi kita. Selama 30 tahun ITBC mendokumentasikan hidupan di hutan ini dan penemuan seperti ini membuktikan masih banyak yang perlu diterokai,” katanya.

Ditubuhkan pada 1996, ITBC menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini dan telah menyumbang kepada penemuan pelbagai spesies di Sabah serta menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi di Asia, Eropah, Australia dan benua Amerika.

Penyelidikan itu dibiayai menerusi geran pascasiswazah UMSGreat (GUG0659-2/2023) dan Jabatan Perhutanan Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Spesimen holotaip spesies baharu itu kini disimpan di Herbarium BORNEENSIS, UMS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast