JOHOR BAHRU, 27 Jun – Calon Parti Bersama Malaysia (PBM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny, menjadi antara calon terawal hadir ke pusat penamaan calon apabila tiba di Dewan Cahaya TNB Kempas di sini, kira-kira jam 7.50 pagi tadi.

Beliau dilihat memasuki pekarangan pusat penamaan calon bersama penyokong dan petugas parti bagi melengkapkan proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setakat jam 7.50 pagi, penyandang kerusi DUN Kempas daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani, masih belum kelihatan tiba di pusat penamaan calon.

Pada masa sama, calon yang dijangka mewakili Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd, juga belum dilihat hadir ke lokasi berkenaan.

Kira-kira 20 penyokong Parti Bersama Malaysia memegang bendera ketika mengiringi calonnya, Salamahafifi Mohd Yusnaieny di Dewan Cahaya TNB, Kempas, Johor Bharu pagi ini

Kerusi DUN N47 Kempas dijangka menyaksikan saingan sengit pada PRN Johor kali ini apabila beberapa parti meletakkan calon masing-masing bagi merebut sokongan pengundi.

Proses penamaan calon dijadual berlangsung pada sebelah pagi sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding sebaik tamat tempoh penyerahan borang pencalonan.

Orang ramai dan penyokong parti terus berkumpul di sekitar pusat penamaan calon dengan kawalan keselamatan dipantau pihak berkuasa bagi memastikan proses berjalan lancar.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast