KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor FC, Aliff Haiqal Lau sah menyertai Penang FC secara pinjaman untuk musim 2026/27.
Perpindahan pemain tengah berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di platform media sosial kelab itu.
“Pemain tengah, Haiqal Lau kini secara rasmi dipinjamkan ke Penang FC bagi menghadapi musim 2026/27. Semoga berjaya, Nonet!” kata Selangor FC.
Perpindahan pinjaman ini dilihat dapat membantu Aliff Haiqal mendapatkan minit permainan yang kerap bersama skuad Sang Harimau Kumbang.
Ini kerana pada musim 2025/26, dia banyak memanaskan bangku simpanan dan beraksi sebagai pemain gantian baik di peringkat domestik mahupun di peringkat Asia atau ASEAN.
Aliff Haiqal juga hanya berjaya melengkapkan 90 minit perlawanan untuk aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Persib Bandung pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette
















