KULAI – Suasana di Pasar Malam Taman Manis, Kelapa Sawit di sini, bertukar menjadi tumpuan apabila dua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor daripada dua gabungan politik bertembung semasa masing-masing turun padang menyantuni pengunjung.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu itu ialah calon Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern dan calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran yang berkempen di situ masing-masing terserempak.
Keadaan yang pada mulanya kelihatan sedikit kekok apabila dua jentera kempen membawa bendera merah dan biru bertembung, bertukar menjadi suasana mesra apabila calon saling bertegur sapa dan bersalaman.

Suasana itu turut mengundang perhatian pengunjung pasar malam yang berhenti seketika melihat calon terbabit daripada dua gabungan politik bertemu dalam satu lokasi, sebelum masing-masing kembali menyantuni peniaga serta pengunjung.
Pertemuan itu sekali gus memperlihatkan persaingan PRN Johor yang semakin rancak, namun masih berlangsung dalam suasana matang, berhemah dan saling menghormati.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















