KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. bagi menangguhkan prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung nilai tanah dikenali sebagai Duta Enclave.
Hakim Roslan Mat Nor sebaliknya menetapkan pendengaran prosiding itu pada 14 dan 21 Ogos serta 1 September ini.
Mahkamah berpendapat, sekiranya penangguhan prosiding itu dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada pihak defendan (kerajaan).
Menurut beliau, prosiding tersebut seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan, sepatutnya kini di peringkat akhir.
“Mahkamah menimbang bahawa Mahkamah Rayuan telah memerintahkan bahawa faedah dibayar pada kadar enam peratus dari 1956 hingga tarikh pampasan dibayar.
“Oleh itu, setelah mempertimbangkan alasan-alasan yang dikemukakan, mahkamah berpendapat permohonan untuk menggantung prosiding, ditolak tanpa kos,” kata hakim.
Pada 18 Mei lalu, Semantan Estate memfailkan permohonan penangguhan prosiding tersebut sehingga rayuan bagi memperoleh beberapa dokumen diputuskan Mahkamah Rayuan.
Dokumen itu termasuk pelan pengambilan tanah antara tahun 1956 hingga 1960 untuk digunakan dalam menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung pemilikan tanah Duta Enclave.
Selain itu, Hakim Roslan berkata, walaupun bidang kuasa mahkamah adalah untuk menentukan permohonan penangguhan dibenarkan atau sebaliknya, ia tidak dapat mengatasi keadilan kepada pihak-pihak.
Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili kerajaan selaku defendan manakala peguam Ira Biswas bertindak bagi pihak Semantan Estate.
Pada 13 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave atas nama syarikat berkenaan.
Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa. Kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.
Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan dan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah serta syarikat berkenaan mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun gagal.
Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.
Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette
















