PARIT RAJA – Kalau singgah ke daerah Batu Pahat, Johor memang tidak sah kalau tidak menikmati nasi beriani.

Namun, bagi pencinta tegar hidangan tradisi ini, warung Nasi Baryani Dam Timbus Hafiz Hafizah memiliki keistimewaan tersendiri yang menjadi pilihan hati pelanggan.

Bukan sekadar nama tetapi sebuah jenama yang menyimpan rahsia kelazatan resipi warisan keluarga yang kini diusahakan oleh Mohd Ariffin Abdullah.

Melangkah masuk ke warung ini, bau harum rempah-ratus yang menusuk kalbu sudah cukup untuk membuatkan air liur sesiapa sahaja kecur, apatah lagi melihat kepulan asap tatkala penutup periuk besar dibuka.

Menurut Mohd Ariffin, dia kini meneruskan legasi perniagaan yang diwarisi daripada bapa mertuanya sejak lebih 10 tahun lalu, demi memastikan hidangan turun-temurun itu tidak luput ditelan zaman.

“Menu ini sangat istimewa dan proses nak masak nasi ni bukanlah mudah, kerana nasi tersebut perlu ‘didam’ dan ditimbus lebih dua jam bagi memastikan teksturnya benar-benar gebu.

“Lepas tu kena tutup dengan kain supaya nasi tu sentiasa panas berasap apabila dihidangkan bersama kuah dalca pekat dan acar timun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Paling menarik, pelanggan dapat menikmati hidangan nasi beriani di sini seawal jam 8 pagi.

“Iya, kami beroperasi awal pagi sebab ada juga orang nak cari makanan berat pagi-pagi,kan.

“Ada juga menu lain di warung kami ni, macam roti canai, nasi lemak dan goreng-goreng yang lain, cuma pelanggan memang cari nasi ni dulu,” katanya lagi.

Rata-rata pelanggan yang ditemui mengakui, keistimewaan nasi beriani di sini terletak pada kelembutan nasi dan kepakaran tukang masaknya yang berjaya mengekalkan rasa asli rempah-ratus yang cukup ‘power’.

Hadani Solbi

Bagi seorang pelanggan setia, Hadani Solbi, kehebatan rasa beriani dam timbus itu datangnya daripada adunan rempah.

“Rempah ratusnya sangat lain, bila makan tu serasi dengan selera tempatan.

“Saya selalu datang sini untuk makan nasi beriani,” katanya.

Norzila Ismail

Keenakan itu turut diakui oleh Norzila Ismail yang menjadikan warung ini sebagai lokasi utama untuk menjamu keluarganya.

“Di sini, nasi banyak, tapi harga cukup murah. Sebab tu kalau anak bakik dari asrama, memang cari nasi beriayani ni dulu.

“Daging kambing tu lembut sangat,” katanya berkongsi cerita.

Seorang lagi pelanggan setia warung ini Haji Sulangkir Suroditromo juga mengakui kelainan tekstur nasi yang lembut dan layanan pemurah daripada pengusahanya membuatkan dia selalu makan di sini.

Haji Sulangkir Suroditromo

“Saya tak makan hari-hari, tapi di kawasan ini, taka da orang boleh lawan sedapnya nasi beriani warung ni.

“Sedap dan murah. Siapa boleh lawan,” katanya.

Bagi Nasir Mohd pula, hidangan beriani dam timbus ini sememangnya mempunyai kelompok peminat tersendiri yang sangat setia, termasuk dirinya.

Nasir Mohd

“Saya datang sini setiap hari Jumaat sebab ada kambing. Daging kambingnya sangat lembut, nasi pun panjang-panjang.

“Makan sepinggan, kenyang sampai malam,” ujarnya. –

Nasi beriani di sini dijual pada harga RM10 untuk ayam dan RM15 untuk daging. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast