KOTA TINGGI – Bekas Pegawai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Fadzilul Khair Yusof mendakwa ditawarkan wang untuk bekerjasama mengadakan kempen mempengaruhi pengundi-pengundi atas pagar di kawasan itu.
Beliau mendakwa, tawaran tersebut daripada pihak Perikatan Nasional (PN) itu kerana percaya dia mempunyai maklumat dan data pengundi-pengundi atas pagar.
Fadzilul yang kini merupakan jentera kepada calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Dr Muhammad Naqib Ghazali menolak tawaran itu.
“Hari ini kuncu PN menelefon beritahu ada pihak mahu jumpa untuk berunding dan memaklumkan tujuannya kumpulkan semua pengundi atas pagar untuk berkempen.
“Pihak berkenaan menghasut agar bersetuju tetapi saya menolak kerana kekal setia dengan BN dan tidak akan mengkhianati perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi.
Fadzilul sebelum ini merupakan pegawai kepada penyandang DUN Panti, Hahasrin Hashim yang menang di kawasan itu pada PRN Johor lalu.- MalaysiaGazette
















