Sesi temubual bersama Wakil Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong ketika hadir pada Program SKOP MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 06 APRIL 2025.

JOHOR BAHRU – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang digesa untuk membuktikan keikhlasan dalam memperjuangkan konsep ‘Impian Malaysia’ dan tidak menjadikan isu perpaduan sebagai modal politik bermusim.

Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, Kit Siang seharusnya berhenti bercakap mengenai perpaduan, lagi-lagi apabila pilihan raya sudah dekat.

“Perpaduan dan rasa hormat yang dilaungkan perlu dibuktikan melalui tindakan yang konsisten pada setiap masa bukan sekadar mengikut kepentingan atau keuntungan politik semata-mata.

“Kekuatan sebenar Malaysia yang dibina oleh masyarakat pelbagai kaum tidak terletak pada naratif politik yang tiada kesudahan atau retorik yang hebat sebaliknya berpaksikan kepada rasa hormat-menghormati yang tulen serta persefahaman bersama.

“Seorang rakyat Malaysia yang sejati tidak akan sesekali membahagikan masyarakat kepada kem kaum, agama atau politik yang saling bersaing, malah wajib menghormati asas negara termasuk meletakkan bahasa kebangsaan dan identiti nasional di tempat tertinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Choo Seong turut menyelar tindakan yang disifatkan seperti sekadar ‘teater politik’ apabila ada pihak yang hanya mempamerkan simbol luaran.

“Mereka tunjuk simbol luaran ini seperti memakai pakaian tradisional kaum lain, memetik ayat suci agama atau menonjolkan kepelbagaian wajah di depan kamera demi lensa media.

“Penghormatan yang sebenar lahir daripada keikhlasan untuk mempertahankan hak dan maruah setiap rakyat tanpa mengira latar belakang, serta keberanian meletakkan kepentingan negara melebihi agenda politik bagi memastikan Impian Malaysia benar-benar menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Terdahulu, Kit Siang menerusi satu ceramah di Perling dekat sini berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar pertandingan memilih kerajaan negeri baharu sebaliknya menjadi medan penting untuk menentukan sama ada negara terus melangkah ke hadapan atau kembali kepada politik lama yang berteraskan perkauman.

Beliau berkata, rakyat Johor kini memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan ‘Impian Malaysia’ iaitu sebuah negara yang lebih adil, bebas, makmur serta menjunjung kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Kit Siang juga berkata, Malaysia perlu mempunyai aspirasi tersendiri dan tidak sekadar melihat kepada kemajuan negara lain.

Dengan mengambil contoh Negara China, yang bercakap mengenai ‘Impian China’ dan perkara sama perlu dipraktikkan di Malaysia.

Impian Malaysia menurut Kirt Siang perlu menjadi sebuah negara yang lebih adil, lebih bebas, lebih makmur berlandaskan kedaulatan undang-undang serta menghormati hak asasi manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast