GEORGE TOWN – Pelbagai barang kes bernilai RM1.27 juta termasuk rampasan berkaitan perjudian, kontraban dan kesalahan hiburan akan dilupuskan dalam satu majlis di IPD Timur Laut, Pulau Pinang, Jumaat ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan berkenaan melibatkan barang kes daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) IPD Timur Laut dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,276,178.38 membabitkan 565 kertas siasatan.
Kesemua barang kes berkenaan adalah hasil daripada pelbagai operasi membanteras mesin perjudian, penjualan nombor ekor haram, rampasan barang kes Noda dan maksiat, Op Kontraban serta Op Ostrich.
“Bagi Bahagian Siasatan Jenayah IPD tersebut, sebanyak 218 kertas siasatan terlibat dengan nilai keseluruhan barang kes RM120,146.38.
“Daripada jumlah itu, ia melibatkan 15 kertas siasatan kontraban, sembilan kertas siasatan hiburan (Noda) dan 194 kertas siasatan judi (Dadu).
“Manakala bagi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial pula, membabitkan pelupusan barang kes VCD dan DVD lucah yang dianggarkan bernilai RM1,156,032 membabitkan 347 kertas siasatan bagi tempoh antara 2010 hingga 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dennis, kesemua barang kes tersebut telah mendapat perintah pelupusan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Proses pelupusan barang kes merupakan langkah penting dalam pengurusan penyiasatan bagi memastikan stor simpanan barang kes berada dalam keadaan teratur dan selamat.
“Selain itu, pelupusan berkenaan turut mengelakkan risiko penyalahgunaan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.
“Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















