Vela memperkenalkan diri ketika berkempen di kawasan Pasar Tani kekal di Permas, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, T Vela, 36, membuat pecutan akhir dengan menyantuni semua 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar Permas malam ini.

Menurutnya, beliau melawat semua PDM terbabit bermula pukul 7 petang hingga 11.59 tengah malam ini untuk bertemu semua penyokong dan jentera parti selain sentuhan akhir berkempen dengan penduduk setempat.

“Ini akan turut diiringi 100 motosikal dan kita akan menyampaikan mesej supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pihak lawan yang ditaburkan sepanjang tempoh berkempen sebelum ini.

“Banyak masalah di Permas yang masih belum selesai sehingga kini contohnya seperti di Taman Air Biru, Taman Cendana, Taman Dahlia dan Permas 1,” katanya ditemui di markas PN DUN Permas di Sierra Perdana di sini hari ini.

Jelas Vela, antara masalah tersebut melibatkan kawasan penjaja Cina di pasar pagi, kesesakan, lampu isyarat tidak berfungsi, Lebuhraya Pasir Gudang yang masih lubang serta berbahaya.

“Begitu juga jalan ke pantai tidak ada di Permas paling dekat dengan pantai,” katanya yang mendakwa kemudahan tersebut terlepas pandang.

Beliau hairan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang didakwa tidak prihatin dengan masalah setempat sedangkan mandat sudah diberi sejak empat tahun lalu.

Sekiranya penduduk Permas memberi mandat, Vela akan memastikan enam perkara melibatkan pendidikan, ekonomi, belia dan pekerjaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dam sukarelawan, agama dan budaya serta rumah mampu milik.

“Tumpuan aspek pendidikan adalah memastikan pelajar B40 tidak tercicir dalam pendidikan. Juga akan memastikan peluang pendidikan yang adil untuk semua. Begitu juga memperkukuh nilai agama dan dan kebudayaan dalam generasi muda.

“Aspek ekonomi pula saya akan membawa lebih banyak peluang pelaburan ke Johor dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan ekonomi rakyat Permas. Saya akan memajukan industri tempatan dan peluang perniagaan,” ujarnya.

Sementara usaha terhadap belia dan pekerjaan katanya, akan membantu belia mendapatkan peluang pekerjaan selain memberi pendedahan tentang pendidikan, kemahiran dan kerjaya serta menggalakkan belia aktif dalam bidang perniagaan dan sukan.

Vela berkata, pihaknya akan menyokong NGO dan sukarelawan yang berkhidmat untuk masyarakat dan mengukuhkan perpaduan serta hubungan komuniti Permas.

Menyentuh tumpuan agama dan budaya, beliau akan memastikan tempat ibadat semua agama terus dipelihara dan dihormati.

“Saya akan menyokong aktiviti keagamaan serta kebudayaan demi keharmonian masyarakat Permas.

Vela bertemu penduduk semasa berkempen di Permas 1, Permas Jaya, Johor Bahru.

“Saya akan berusaha menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan kemudahan tempat ibadat dan menaik taraf fasiliti yang diperlukan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi rumah mampu milik beliau akan memastikan peluang rumah mampu milik kepada golongan B40 yang layak dan akan membantu rakyat secara adil tanpa mengira agama dan bangsa.

“Semua ini dilakukan dengan slogan Bersama membina Permas yang maju, inklusif dan sejahtera,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast