SEGAMAT – Terpahat 14 hari berkampung, berpanas, berhujan dan bekerja tanpa mengira siang malam akhirnya berbaloi apabila misi jentera Barisan Nasional (BN) Pahang berakhir dengan kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN Johor) ke-16 pada semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa syukur apabila BN bukan sahaja terus menguasai Johor, malah mencatat kemenangan besar dengan meraih 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Lebih membanggakan, semua kawasan angkat yang dipertanggungjawabkan kepada jentera Pahang berjaya dipertahankan sekali gus membuktikan gerak kerja mereka membuahkan hasil.
“Tahniah BN. Tahniah juga kepada Dato’ Onn Hafiz dan terima kasih kepada seluruh jentera BN termasuk dari Pahang.
“Alhamdulillah, semua kawasan angkat Pahang telah mencapai kemenangan.” katanya turut perkembangan keputusan pilihan raya di Pejabat UMNO Johor, malam tadi.
Wan Rosdy berkata, kejayaan itu bukan hadir dengan mudah, sebaliknya lahir daripada pengorbanan ribuan petugas parti yang meninggalkan keluarga dan tugas harian demi memastikan kemenangan BN.
Menurutnya, jentera dari Pahang yang berkampung sepanjang 14 hari kempen telah menunjukkan disiplin, kesetiaan dan semangat juang luar biasa.
Naib Presiden UMNO itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera BN termasuk pasukan dari Pahang yang bekerja tanpa mengenal penat.
“Komitmen, pengorbanan dan semangat juang yang ditunjukkan menjadi antara faktor penting yang membawa kepada kejayaan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang sekali lagi memberikan mandat besar kepada BN untuk meneruskan pentadbiran negeri.
Ujar beliau kepercayaan itu bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya amanah besar yang wajib diterjemahkan melalui pentadbiran yang stabil, pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat.
Kemenangan besar BN pada PRN Johor bukan sahaja mengukuhkan kedudukan gabungan itu di negeri berkenaan, malah dilihat memberi suntikan moral menjelang beberapa lagi medan politik yang bakal ditempuhi selepas ini.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan memberikan kepercayaan serta mandat kepada Barisan Nasional untuk terus memimpin negeri ini.
“Insya-Allah, dengan mandat yang diberikan ini akan diterjemahkan melalui usaha berterusan untuk memastikan Johor terus kekal stabil, makmur, maju dan sejahtera demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.
“Satu keputusan yang sangat positif bukan sahaja kepada Johor tetapi juga kepada BN,” katanya yang juga Pengerusi BN Pahang.
Sebelum ini BN Pahang memperluaskan gerak kerja pada PRN Johor apabila turut diberikan tanggungjawab menggerakkan jentera kempen di kawasan Felda di negeri itu selain empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN Pahang dipertanggungjawabkan menguruskan kempen di Parlimen Tanjung Piai dan Pontian yang membabitkan empat DUN iaitu Pekan Nanas, Pulai Sebatang, Benut dan Kukup selain dipertanggunjawabkan menjaga Felda.
Pada semalam BN menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) ke-16 selepas merembat melebihi majoriti dua pertiga sekali gus mengekalkan penguasaan pentadbiran negeri itu untuk satu lagi penggal.
BN telah memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) meraih lapan kerusi manakala gabungan atau parti lain gagal memenangi sebarang kerusi. – MalaysiaGazette
















