Syahir Sulaiman

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan PAS berjaya mencapai objektifnya bagi mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, kejayaan memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam sekaligus mengekang kemaraan Pakatan Harapan (PH) di Johor dan seterusnya di Parlimen.

Beliau berpendapat, potensi Pas/Perikatan Nasional (PN) boleh dipertingkatkan di Selangor, Melaka, Perak dan Pahang melalui elemen ‘lonjakan’ dengan mengemukakan pakej ‘upaya dan wibawa’ menerusi calon Menteri Besar (MB) yang kompeten serta manifesto yang meyakinkan.

Di Johor, katanya, BN mempunyai calon MB yang humble, bersih dan popular namun persoalannya sama ada BN mampu menawarkan pakej yang sama di peringkat Persekutuan.

“Tanpa calon MB dan tawaran manifesto yang meyakinkan manakala PN pula tidak dilihat sebagai alternatif kepada BN dan PH di Johor, di samping berdepan penguasaan media serta jentera kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Mohd. Syahir selanjutnya menyatakan, faktor poster boy Onn Hafiz dan peralihan undi atas pagar termasuk sebahagian pengundi PN khususnya Pas menyumbang kepada kemenangan mutlak BN.

Perlu difahami, psiko-politik pengundi dalam sesebuah pilihan raya negeri (PRN) cenderung memilih parti atau gabungan yang dilihat mempunyai ‘upaya dan wibawa’ untuk membentuk kerajaan.

Menurut beliau, seperti dijangka, pilihan raya mengejut memberi kelebihan kepada penyandang di samping sentimen lokal yang banyak mempengaruhi pola pengundian sama seperti di Sabah.

Ujar beliau, maka tidak mustahil, PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikan peralihan sokongan bagi menobatkan MB baharu daripada BN, mungkin melalui ‘formula’ peralihan undi atau penyatuan ummah namun ia terrlalu awal untuk dijangkakan.

Beliau berpendapat, pada masa yang sama, kemenangan 48 kerusi memberi UMNO/BN kelebihan (leverage) baharu menjelang PRU16.

Mohd. Syahir selanjutnya berkata, selesai penjumlahan undi di kesemua 56 DUN, jelas kelihatan watak biggest loser di Johor – PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP.

“Ternyata ucapan ‘masuk bakul, angkat sendiri’ di samping pendekatan ‘menabur janji, meninggi diri’ telah memakan diri PMX dan DAP dan mengulangi mimpi ngeri di Sabah.

“PMX kini berdepan defisit-kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India malah semakin negatif di mata anak muda dan netizen.

“Adapun parti Rafizi yang hilang deposit di semua kerusi, belajarlah menjadi ‘sang kancil’ yang sebenar.

Menurutnya lagi, UMNO tersilap jika menganggap ‘jenama’ BN sudah kembali diterima oleh rakyat.

Kata beliau, peralihan undi kepada BN di Johor lebih bersifat sementara kerana rakyat mahu menolak DAP/PH manakala PN tidak berjaya memposisikan diri sebagai alternatif.

“Kepada MB Onn Hafiz, tahniah! Ini suatu ‘referendum’ keyakinan Bangsa Johor terhadap pasukan MB untuk terus memajukan negeri dan membela rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast