Perbicaraan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan telah membayar kira-kira RM24.4 juta kepada sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan bagi melaksanakan projek pembinaan jalan baharu yang menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Wan Hasnan Wan Musa, 51, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta dibayar kepada syarikat tersebut, KCJ Engineering Sdn. Bhd. pada 26 Mei 2022 sebagai wang pendahuluan.

Beliau yang juga dilantik sebagai pegawai penguasa projek berkata, bakinya melibatkan sembilan transaksi dibayar kepada syarikat tersebut di antara 28 Mac 2022 dan 15 Februari 2023.

Beliau menyatakan demikian pada perbicaraan kes Jana Wibawa melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Syarikat sama turut disebut oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan itu.

Menurut Wan Hasnan, pembayaran itu dibuat susulan persetujuan Kerajaan Malaysia menerima tawaran tender daripada KCJ Engineering untuk melaksanakan projek berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, projek bernilai RM62 juta itu dijadual bermula pada 22 Disember 2021 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 34 bulan.

Semasa menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, Wan Hasnan berkata, kemajuan projek tersebut dipantau menerusi mesyuarat bulanan yang dihadiri oleh semua jurutera daerah.

“Projek dijangka siap pada penghujung bulan ini. Sebahagian  projek sudah diserahkan kepada kerajaan, kontraktor telah menyiapkan dan menyerahkan bahagian berkenaan dan kami telah mengeluarkan sijil siap,” ujar saksi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, Wan Hasnan bersetuju Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak campur tangan dalam urusan pembayaran kepada KCJ Engineering.

Pada 13 April lalu, pegawai bank, Chang Hui Chin berkata, KCJ Engineering menyalurkan RM800,000 kepada akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi empat cek masing-masing sebanyak RM200,000 pada 1 September 2022.

Pada 6 Julai lalu, Tengku Zafrul memberitahu, KCJ Engineering tersenarai di nombor 31 daripada cadangan 54 kontraktor untuk  `Projek Membina Jalan Baharu Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas’.

Tengku Zafrul mengesahkan KCJ Engineering tidak pernah menghantar surat permohonan kepadanya mahupun Kementerian Kewangan untuk mendapatkan projek itu sama ada melalui pos ataupun datang berjumpa beliau.

“Saya mengesahkan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan KCJ Engineering dan tidak pernah menerima apa-apa ganjaran kewangan daripada syarikat ini dan juga syarikat-syarikat lain yang disenaraikan,” ujarnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan perdana menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast