Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung secara terbuka mempersoalkan dakwaan wujudnya persefahaman antara UMNO dan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan perkara itu bercanggah dengan pendirian yang selama ini dibawa Barisan Nasional (BN).

Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya, baru seminggu lalu ketika berkempen di Johor, beliau berulang kali memberi jaminan kepada pengundi bahawa BN tidak bekerjasama dengan Pas.

“Saya berkali-kali memberitahu pengundi bahawa kita tidak bekerjasama dengan Pas.

“Untuk menghalang gelombang hijau, rakyat perlu mengundi BN. Saya juga menjelaskan bahawa DAP pernah tiga kali bekerjasama dengan Pas, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pernah menjemput Pas menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa situasi berubah apabila pada majlis pengumuman calon BN bagi PRN Negeri Sembilan, seorang pemimpin parti menyebut “kita ada persefahaman dengan kawan”, sebelum seorang pemimpin Pas mengesahkan wujud kerjasama antara UMNO dan parti itu.

Perkembangan itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada keputusan berkenaan telah dipersetujui oleh MCA.

ARTIKEL BERKAITAN: 

“Saya tertanya-tanya, adakah MCA telah bersetuju? Adakah Presiden MCA bersetuju? Adakah Majlis Presiden bersetuju? Apakah bentuk persefahaman dengan Pas itu?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada perjuangan sekular dan demokrasi yang selama ini menjadi pegangan MCA kini telah diketepikan.

“Kita mempertahankan prinsip sekular dan demokrasi selama ini. Adakah kita sudah meninggalkannya?

“Adakah kita kini menerima konsep pemerintahan berasaskan agama? Di mana garis merah dan prinsip perjuangan kita?” katanya.

Menurut beliau, sekiranya persefahaman itu dibuat semata-mata atas pertimbangan mendapatkan undi, meraih jawatan atau strategi politik untuk menewaskan DAP, ia tetap tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip.

“Kerana undi? Kerana jawatan? Kerana percaya strategi ini boleh memenangkan kerusi campuran? Kerana musuh kepada musuh ialah kawan? Atau kerana asalkan DAP dapat dikalahkan, perkara lain sudah tidak penting?” soalnya.

Beliau berkata keadaan itu mengingatkannya kepada kritikan yang selama ini dilemparkan terhadap DAP.

“Selama ini kita sering mengatakan DAP selepas memerintah telah menjadi apa yang dahulunya mereka sendiri paling benci.

“Namun, bukankah hari ini kita juga sedang menjadi seperti itu?” katanya.

Menurut Yee Fung, beliau tidak mampu menerima sebarang keputusan politik yang mengorbankan prinsip.

“Maaf, saya mengakui saya mempunyai prinsip yang tegas dalam politik. Saya tidak dapat bersetuju dengan perkara ini,” katanya.

BN malam tadi mengumumkan 25 calon bagi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos ini manakala 11 lagi kerusi akan diumumkan malam ini oleh parti ‘kawan’ menerusi satu persefahaman.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon BN di Paroi malam tadi.

Namun kedua-duanya tidak menamakan pihak yang terlibat dalam jalinan ‘persefahaman’ tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast