KUALA LUMPUR – Anak kepada pengarah filem, Aziz M. Osman, Ara Aziz melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading pada usia seawal 15 tahun.
Ara atau nama sebenarnya Puteri Nur Azzahra kini secara rasminya telah memulakan pengajian peringkat asasi di Manipal University College Malaysia selepas menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) pada tahun lalu dengan keputusan cemerlang.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram peribadinya, bekas peserta program Talk To My Manager musim pertama ini meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas lembaran baharu yang bermakna dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, ini merupakan satu detik yang amat bermakna dan tidak akan saya lupakan. Melangkah masuk ke Manipal University College Malaysia sebagai pelajar paling muda memberikan perasaan yang mengujakan tetapi dalam masa yang sama saya tetap merendah diri.
“Saya percaya setiap perjalanan yang besar sentiasa bermula dengan satu langkah kecil dan perjalanan saya sudah pun bermula.
Sementara itu, ibunya, Puteri Lily Lokman turut mengesahkan Ara kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
Dia mendedahkan anak sulungnya itu sememangnya telah menunjukkan kecenderungan dan minat yang mendalam terhadap subjek sains sejak zaman kanak-kanak lagi.
Menurut Puteri Lily, Ara menyimpan impian yang sangat khusus iaitu mahu bergelar seorang pakar neurologi (bedah otak).
Minat unik itu lahir daripada sifat Ara yang sentiasa kagum dengan fungsi misteri di sebalik minda manusia.
“Ara sejak kecil lagi memang sangat sukakan subjek sains. Dia mempunyai cita-cita yang tinggi untuk mendalami bidang neurologi namun sebagai ibu saya menasihatinya supaya belajar perkara asas terlebih dahulu.
“Mana tahu apabila dia sudah mula belajar nanti, dia akan menemui minat dalam cabang bidang yang lain pula. Terokalah ilmu sebanyak yang mungkin,” jelas Puteri Lily.
Puteri Lily turut berkongsi cerita menarik mengenai keperibadian Ara yang tidak suka menghakimi orang lain sebaliknya lebih tertarik untuk mengkaji cara manusia berfikir.
“Sejak kecil lagi, Ara bukan seorang anak yang suka menilai orang sekeliling. Jika dia melihat kelakuan seseorang, dia akan bertanya kepada saya bagaimana otak individu tersebut boleh berfikir sedemikian dan mengapa setiap manusia mempunyai corak pemikiran yang berbeza-beza.
“Bagi Ara, ciptaan Allah itu sangat menakjubkan kerana walaupun bentuk fizikal otak manusia hampir sama, namun corak pemikiran setiap orang adalah berbeza,” tambahnya lagi.
Selain Ara, perkahwinan Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman itu turut dikurniakan seorang lagi cahaya mata lelaki iaitu Putera Muhamad Aryan. – MalaysiaGazette















