Parlimen Kuala Pilah mempunyai lima kawasan DUN.

PILAH – Perubahan pembangunan yang semakin ketara di Kuala Pilah sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendorong sebahagian pengundi berharap kesinambungan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dapat diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kuala Pilah mendapati rata-rata penduduknya mengakui terdapat perubahan yang boleh dilihat daripada segi pembangunan, kemudahan awam dan kebajikan rakyat sejak 2018.

Namun pada masa sama, mereka berharap lebih banyak usaha dilakukan bagi merancakkan ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Bagi penduduk Kampung Purun, Norzima Alias, perubahan di Kuala Pilah hari ini jauh berbeza berbanding dahulu apabila kawasan yang pernah dianggap kurang membangun kini semakin tersusun dan menjadi tumpuan orang ramai.

Norzima AliasKata peniaga kedai makan itu, sebagai penduduk yang menetap di kawasan itu sekian lama, beliau dapat melihat sendiri perubahan yang berlaku sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dulu Pilah bersemak, sekarang dah banyak berubah. Kawasan pun semakin cantik dan lebih meriah berbanding dulu. Kita sudah ada dataran Pilah lagi jadi tumpuan.

“Kita harap pembangunan ini diteruskan. Projek-projek yang sedang berjalan jangan dihentikan dan bantuan kepada orang kampung yang susah terus diberikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, pesara guru dari Senaling, Adam Taat berpandangan, Negeri Sembilan kini berada pada landasan yang baik daripada segi pembangunan namun usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Kuala Pilah perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda supaya mereka tidak lagi perlu berhijrah ke Seremban, Nilai atau Kuala Lumpur.

Pesara guru, Adam Taat

“Saya nampak pembangunan yang dibuat memang ada hasilnya tetapi Kuala Pilah masih perlukan lebih banyak pelaburan.

“Melayu Bazaar misalnya boleh diperkasakan lagi supaya lebih ramai orang datang. Kalau lebih banyak pelabur masuk, peluang pekerjaan pun akan bertambah dan anak-anak muda tak perlu keluar bekerja di tempat lain,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan kepimpinan Aminuddin berada pada landasan yang baik berdasarkan pembangunan yang telah dilaksanakan di negeri itu.

“Saya tengok daripada segi pembangunan memang ada perubahan. Banyak perkara yang dibuat dan rakyat boleh nampak hasilnya,” katanya lagi.

Seorang lagi pengundi, Zulkifli Baharudin, 64, turut mengakui perubahan di Kuala Pilah lebih ketara berbanding ketika beliau mula menetap di kawasan itu puluhan tahun lalu.

Katanya, pembangunan yang berlaku ketika ini memberi gambaran bahawa negeri itu terus bergerak ke hadapan namun usaha berkenaan perlu disokong dengan komitmen semua pihak.

Zulkifli Baharudin

“Kalau dibandingkan dengan dulu memang banyak beza. Dulu membangun juga tetapi sekarang kita nampak perubahan itu lebih ketara.

“Yang penting, siapa pun yang menang nanti jangan lupa orang kampung. Teruslah turun padang, dengar masalah rakyat dan bekerja untuk penduduk, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan kerusi DUN Pilah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Pakatan Harapan (PH), Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan calon Barisan Nasional (BN), S Leza Md Yasin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast