SEREMBAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan kerajaan didakwa hanya membangkitkan semula isu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.
Beliau berkata, laporan RCI itu telah lama disiapkan dan tiada alasan untuk kerajaan terus menangguhkan pendedahannya.
“Kalau nak keluarkan, keluarkan sekarang. Kenapa tunggu waktu pilihan raya baru hendak dihebohkan?” soalnya selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti Peringkat Parlimen Rasah hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan, namun keputusan terbabit perlu dibuat mengikut prosedur melalui pertimbangan Jemaah Menteri, Rabu ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu, UMNO merupakan antara pihak yang paling awal mendesak penubuhan RCI bagi membersihkan pelbagai tuduhan terhadap Tabung Haji.
Jelasnya, ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, beliau sendiri mendesak kerajaan ketika itu menubuhkan RCI bagi memastikan segala dakwaan penyelewengan disiasat secara telus.
“Kalau benar ada yang menyakau, ambillah tindakan kepada sesiapa sahaja. Jangan jadikan Tabung Haji sebagai modal politik murahan ketika kempen pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















