JOHOL – Kekurangan peluang pekerjaan sehingga memaksa ramai anak muda berhijrah ke bandar besar menjadi antara keutamaan yang mahu ditangani calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Beliau berkata, Johol mempunyai potensi besar untuk dibangunkan namun kawasan itu memerlukan lebih banyak pelaburan dan pembangunan industri supaya penduduk tempatan tidak lagi bergantung kepada peluang pekerjaan di Seremban, Kuala Lumpur, Johor Bahru mahupun Singapura.
Menurutnya, keadaan ketika ini menyaksikan sebahagian besar golongan muda terpaksa meninggalkan kampung halaman demi mencari pekerjaan kerana peluang yang tersedia di Johol masih terhad.
“Ramai anak muda kita bekerja di luar kawasan kerana peluang pekerjaan di Johol tidak banyak.
“Sebab itu saya mahu melihat lebih banyak industri dibawa masuk ke kawasan ini supaya peluang pekerjaan dapat diwujudkan berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Saiful Yazan berkata, pembangunan industri tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan Seremban dan Nilai, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah lain termasuk Johol bagi memastikan pembangunan negeri lebih seimbang.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan iltizamnya untuk memperkasa ekonomi setempat menerusi pembangunan sektor pertanian moden, perusahaan kecil serta ekonomi digital supaya lebih ramai anak muda melihat Johol sebagai lokasi membina kerjaya dan masa depan.
Dalam masa sama, beliau berkata, aspek pendidikan turut menjadi antara fokus utama dengan usaha memperluaskan program tuisyen, bimbingan akademik, laluan ke institusi pengajian tinggi, TVET serta pendedahan kepada kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber bagi melahirkan generasi yang lebih berdaya saing.
Beliau turut beriltizam meneruskan usaha menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan kampung, lampu jalan, sistem perparitan, dewan orang ramai, padang, sekolah, capaian internet serta kemudahan awam lain mengikut keutamaan dan keperluan penduduk.
Saiful Yazan berkata, momentum kempen BN di Johol kini semakin positif apabila pelbagai program yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurutnya, sepanjang hujung minggu ini, BN memberi tumpuan kepada program santai di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menghimpunkan pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, warga emas dan keluarga.

“Kita sengaja memilih pendekatan santai kerana ia memberi peluang kepada rakyat mendekati calon dan menyampaikan sendiri pandangan serta masalah yang mereka hadapi,” katanya lagi.
Beliau berkata, Johol mempunyai lebih 12,300 pengundi dengan jumlah penduduk sekitar 16,000 hingga 17,000 orang, namun sebahagian besar daripada mereka tinggal atau bekerja di luar kawasan.
Sehubungan itu beliau berharap pengundi yang berada di luar Johol dapat pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana setiap undi amat penting dalam menentukan hala tuju kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Saiful Yazan berkata, kebajikan masyarakat termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya, pesakit serta komuniti orang asli akan terus diberi perhatian melalui penyampaian bantuan yang lebih tersusun dan bersasar.
Selain komitmen utamanya memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan. – MalaysiaGazette
















